Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Hak Sabah dilucutkan ketika tiada orang dalam parlimen?

Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) sekali lagi mendakwa pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan hak dan kepentingan negeri Sabah dibuat tanpa mengikut prosedur yang betul.

Kali ini, Azis berkata maklumat terbaru mendapati pindaan itu tidak dibuat semasa persidangan Dewan Rakyat.

Azis mendakwa hak negeri Sabah untuk mendapat 40 peratus daripada hasil cukainya sendiri, yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dilucutkan secara tidak wajar.

Membangkitkan perkara itu sebagai perintah tetap hari ini, Azis berkata statut baru yang dilihatnya semalam menunjukkan pindaan itu dibuat semasa mesyuarat Dewan Rakyat pada 29 Sept 1971.

Bagaimanapun, dia berkata perkara itu adalah mustahil kerana pada 1971, tiada sidang diadakan pada September dan Parlimen hanya bersidang dari 20 Feb hingga 19 Mac, 5 Julai hingga 30 Julai, dan 8 Dis hingga 17 Dis tahun itu.

"Statut 1971 ini dibentangkan di mesyuarat Dewan ini pada 29 Sept 1971 pada ketika tidak ada orang berada di dalam dewan ini.

"Dan ini persoalannya, ini melibatkan hak Sabah 40 peratus," katanya sambil menambah ia adalah bukti Kerajaan Persekutuan telah mencuri hak Sabah.

Bagaimanapun, Speaker Azhar Harun berkata dia tidak faham isu yang dibangkitkan oleh Azis.

Dia meminta Ahli Parlimen Warisan itu menemuinya di dalam kamar untuk menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut, menyebabkan Azis turut mempelawa menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili turut serta dalam pertemuan itu.

Sebelum ini, pada 22 Mac, Azis dilaporkan merujuk Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan kepada Dewan Rakyat.

Dia berkata Zafrul menyatakan bahawa pulangan 40 peratus kutipan hasil bersih Sabah sendiri tidak lagi terpakai dan ini bercanggah dengan kenyataan Maximus bahawa perkara itu belum lagi dibincangkan.

Pada 18 Mac, Ongkili berkata Sabah mempunyai pandangan sendiri mengenai perkara itu yang perlu dibincangkan pada mesyuarat majlis khas selepas berakhirnya sidang parlimen ini.

Dia juga menyatakan bahawa jumlah yang akan dikembalikan kepada Sabah juga akan diputuskan pada mesyuarat majlis khas itu.

Lihat Komen
ADS