Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor sediakan RM1 juta untuk Dana Bantuan Guaman

Inisiatif bersama di antara kerajaan Selangor, Majlis Peguam Malaysia dan Majlis Peguam Selangor akan membolehkan rakyat di negeri itu yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 diberikan akses bantuan guaman secara percuma untuk kes sivil.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Dana Bantuan Guaman Selangor - berjumlah RM1 juta untuk tempoh tiga tahun - diperkenalkan untuk memenuhi keperluan mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan representasi undang-undang.

"Kita kerjasama dengan Majlis Peguam Selangor untuk memberi bantuan dan sokongan kepada rakyat Selangor yang memerlukan perkhidmatan bantuan guaman secara percuma.

"Ini untuk memberikan mereka yang tidak berkemampuan layanan guaman yang adil dan keadilan mengikiut undang-undang," kata Amirudin pada sidang media selepas melancarkan Jelajah Selangor Penyayang di Petaling Jaya, hari ini.

Amirudin sebelum itu secara simbolik melancarkan dan menyerahkan replika cek untuk Dana Bantuan Guaman Selangor kepada Presiden Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah dan Pengerusi Majlis Peguam Selangor Kokila Vaani Vadiveloo.

Turut hadir Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin Selangor V Ganabatirau.

Ditemui selepas pelancaran itu, Ganabatirau selaku exco yang bertanggungjawab menyelaraskan dana itu berkata, dua bidang tumpuan semasa ialah kes sivil berkaitan keluarga dan isu pekerja.

“Bagi setiap kes individu, mereka akan diberi subsidi RM1,500 manakala mana-mana saman tindakan kelas akan disubsidi sehingga RM2,000 maksimum. Peguam akan dipilih oleh Majlis Peguam Selangor.

"Setakat ini RM300,000 daripada dana RM1 juta telah disalurkan kepada Majlis Peguam Selangor. Sekarang ini isu undang-undang keluarga dan pekerja menjadi keutamaan," kata Adun Kota Kemuning itu.

Senarai inisiatif kerajaan negeri

Inisiatif itu pertama kali diumumkan di bawah Belanjawan Selangor 2022.

Sementara itu, Kokila Vaani berkata, permohonan bantuan guaman percuma boleh didapati di Ibu Pejabat Majlis Peguam Selangor, pusat khidmat Adun Selangor, pusat komuniti setempat dan lokasi terpilih lain.

Katanya, kesemua 7,352 peguam yang berdaftar di Selangor akan ditugaskan secara bergilir-gilir untuk mengendalikan kes yang diterima di bawah tiga bidang utama.

“Bagi urusan keluarga ia akan merangkumi hak penjagaan (melalui) petisyen bersama dan petisyen tunggal, juga urusan pekerjaan dan kes kepentingan awam,” jelas Kokila.

Dia juga memetik trend peningkatan individu yang terperangkap dalam pertikaian berkaitan buruh akibat kehilangan pekerjaan sepanjang pandemik Covid-19.

Sementara itu, Kokila berkata perkara membabitkan kepentingan awam termasuk potensi tuntutan terhadap kerajaan negeri akan dibincangkan mengikut kes.

Dana Bantuan Guaman Selangor salah satu daripada senarai inisiatif kerajaan negeri yang dipromosikan oleh agensi berkaitan yang mengambil bahagian dalam karnival Jelajah Selangor Penyayang, yang diadakan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebelum bergerak ke daerah lain selepas ini.

Lihat Komen
ADS