Nota Editor: Artikel ini sepatutnya diterbitkan pada Oktober 2021, sebagai sebahagian daripada liputan Kertas Pandora tetapi terpaksa ditangguhkan selepas pengerusi eksekutif Top Glove Lim Wee Chai memohon perintah injuksi bagi menghalang Malaysiakini menerbitkannya. Ia disiarkan hari ini berikutan penyelesaian kes itu di mahkamah, dengan kemas kini berkaitan. Nota ini sebelum ini menyatakan Top Glove telah memohon injunksi. Kesilapan ini adalah dikesali. Artikel ini juga dipinda untuk menambah jawapan Top Glove terhadap perkara berkaitan Yubrav Khadka.
KERTAS PANDORA l Pada 2020, pengeluar sarung tangan pembedahan terbesar di Malaysia, Top Glove memecat dan menghantar pulang seorang pekerjanya, Yuvaraj Khadka, 29, dari Chhintang, Dhankuta, kembali ke Nepal atas tuduhan membocorkan maklumat mengenai dakwaan eksploitasi pekerja.
Pada 2012, Khadka, ketika itu berusia 20 tahun, datang ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan dengan membayar NPR120,000 (RM4,340) kepada sebuah ejen pengambilan dengan impian untuk menyara keluarganya.
Dia kemudiannya bekerja di Top Glove. Namun, dia mendakwa syarikat itu tidak membayar gaji dan bayaran lebih masa yang jelas bercanggah dengan peraturan kerajaan Malaysia. Namun, Khadka tidak berhenti kerja.
Selepas bekerja selama sembilan tahun, syarikat itu memecatnya tahun lalu atas tuduhan membocorkan maklumat dan menghantarnya pulang ke Nepal.
‘Jenayah’ Khadka ialah merakamkan gambar pekerja migran yang bekerja dalam keadaan bersesakan semasa pandemik Covid-19.

Sebaik gambar itu didedahkan di media sosial, syarikat itu segera membatalkan kontrak dan menghantarnya pulang, dengan memaksanya membayar tiket kapal terbang sendiri, katanya kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Nepal (CIJ Nepal).
Khadka berkata dia mengambil gambar pekerja berkumpul di tempat kerja pada Mei 2020, ketika jangkitan Covid-19 semakin menular. Menurutnya, mereka tidak mampu mengambil langkah keselamatan di tempat kerja dan menyalahkan syarikat.
“Top Glove ialah syarikat yang sangat berbahaya. Jika ada yang mengadu, orang itu akan dikenal pasti dan dipecat,” katanya.
“"Jadi, ramai pekerja tidak memfailkan aduan terhadap syarikat walaupun mereka didera."
Walaupun rantaian bekalan dan juruaudit sosial melawat syarikat itu untuk pemeriksaan, Khadka percaya mereka tidak mendapat gambaran sepenuhnya.
Sebagai respons, Top Glove menafikan dakwaan Khadka bahawa dia tidak dibayar gaji dan kerja lebih masa, tetapi tidak menjawab sebab dia diberhentikan kerja.
Syarikat itu juga menafikan bahawa Khadka membayar untuk penerbangan pulang.
“(Khadka) menerima gaji bulanan terakhirnya daripada Top Glove pada September 2020, yang merupakan bulan terakhirnya bekerja dengan syarikat itu.
"Tambang penerbangannya ke Nepal, berjumlah RM1,682.45, turut dibayar sepenuhnya oleh Top Glove,” jelasnya.
Ketika jutaan pekerja merempat di seluruh dunia semasa kemuncak wabak Covid-19, kilang Top Glove di Malaysia terus beroperasi tanpa banyak gangguan, dikendalikan oleh pekerja asing, termasuk dari Nepal.

Pada tahun Khadka dipecat, Top Glove melaporkan keuntungan RM1.75 bilion untuk tahun kewangan 2020.
Pada 2021, Top Glove mencatatkan prestasi lebih baik, dengan keuntungan melonjak 349.1 peratus kepada RM7.87 bilion, hasil daripada peningkatan permintaan untuk sarung tangan getah dan peralatan perlindungan diri.
Ini berlaku walaupun suku keempat yang lemah pada 2021, di mana keuntungan jatuh kepada RM607.95 juta daripada RM2.04 bilion pada suku sebelumnya.
The New York Times, pada 20 Dis 2020, melaporkan bahawa Top Glove menguasai kira-kira satu perempat daripada pasaran sarung tangan getah global.
Menurut laporan itu, syarikat pengeluar sarung tangan di Malaysia berkenaan secara kolektif memenuhi kira-kira 60 peratus daripada permintaan dunia untuk sarung tangan pakai buang.

Tetapi apabila dunia kembali seperti normal semasa vaksin Covid-19 mula diedarkan, permintaan untuk sarung tangan getah merosot, begitu juga dengan keuntungan Top Glove.
Peningkatan inflasi global dan perang Ukraine-Rusia yang memacu kenaikan kos bahan mentah dan minyak mentah, Kumpulan Top Glove melaporkan kemerosotan keuntungan yang ketara.
Bulan lalu, ia melaporkan penurunan 99.2 peratus dalam keuntungan kepada RM15.29 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mei, turun daripada RM2.04 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Perolehannya menyusut daripada RM4.16 bilion kepada RM1.46 bilion pada suku yang sama, tahun ke tahun.
Sebagai pemegang saham utama Top Glove, kekayaan pengasasnya, Lim Wee Chai dan keluarganya meningkat dengan pesat dalam beberapa tahun pertama wabak itu.
Lim ialah pengerusi eksekutif Top Glove. Isterinya, Tong Siew Bee, adalah ahli lembaga pengarah syarikat, manakala anak lelaki mereka adalah sebahagian daripada pasukan pengurusan syarikat.

Dalam laporan tahunan 2020 Top Glove, Lim disebut memiliki 2.16 bilion saham langsung dan 680.19 juta saham tidak langsung dalam syarikat itu.
Lim dan keluarganya memiliki kira-kira 27 peratus saham syarikat itu, dengan 6.8 peratus lagi disenaraikan sebagai pegangan saham tidak langsung dan dipegang oleh First Way United Corporation, sebuah syarikat yang berdaftar di British Virgin Islands (BVI).
Sekurang-kurangnya sebahagian daripada pendapatan dividen oleh keluarga Lim semasa ledakan pandemik juga mungkin disalurkan ke BVI jika Lim mengulangi apa yang mereka lakukan melalui portfolio pelaburan luar pesisir dari 2007 hingga 2018, seperti yang didedahkan dalam Kertas Pandora.
Kertas Pandora adalah dokumen yang diperoleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat melalui sumber yang tidak dinamakan.
Sumber itu berkongsi dengan ICIJ kira-kira 2.94 terabait fail kewangan sulit, berjumlah lebih daripada 11.9 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuh dan mengurus syarikat tersedia (shell company) dan amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.
Menurut Kerats Pandora, Lim dan ahli keluarganya memiliki atau menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat dalam BVI, yang ditubuhkan oleh penyedia perkhidmatan kewangan yang berpangkalan di Singapura, Trident Trust.
Mereka ialah Top Investment Ltd, Mountain High Capital Ltd, Venturelist Ltd dan Robust Leader Management Ltd.
Mountain High ditubuhkan pada Julai 2007 sebagai portfolio pelaburan, dengan AS$14 juta (RM48.3 juta) didana oleh Bank Singapura.

Dana itu dikumpul oleh Lim selama 10 tahun, menurut dokumen penubuhan itu.
Selain anak lelaki dan anak perempuan Lim dan Tong, syarikat itu juga menyenaraikan pekerja Top Glove sebagai pengarah.
Menurut e-mel bertarikh 6 Feb 2017, yang didedahkan dalam Kertas Pandora, anak lelaki mereka memperakui bahawa bapanya Lim memegang 50,000 saham Mountain High pada kadar satu dolar sesaham.
Dalam kes Venturelist Ltd, keluarga Lim dan dua pembantu peribadi mereka di Top Glove dilantik sebagai pengarah pada mulanya, manakala setahun kemudian, hanya pekerja Top Glove sahaja yang tinggal.
Pada November 2018, Lim membuka sebuah lagi syarikat bernama Top Investment Limited di British Virgin Islands.
Antara pengarah Top Investment Ltd ialah Lim, isterinya Tong, dan anak-anak mereka. Dua pekerja Top Glove, Yap Rueh Yinn dan Lai Hui Shi, turut disenaraikan sebagai pengarah.
Robust Leader Management Ltd, yang turut diperbadankan oleh Trident Trust, merupakan sebuah lagi syarikat BVI yang dikaitkan dengan pemilik Top Glove. Terdapat maklumat terhad yang tersedia, dan tujuan syarikat itu tidak jelas.
Ketika dihubungi, Lim berkata syarikat luar pesisir dan amanah itu bukan sebahagian daripada Top Glove.

Menurutnya, pekerja syarikat yang dinamakan dalam dokumen itu "membantu dengan rela hati dalam hal urusan luar pesisir" dan dibayar secara bebas olehnya untuk bantuan mereka.
Dua daripada mereka, katanya, tidak lagi bersama Top Glove.
Dalam satu kenyataan bertulis, dia berkata firma BVI tidak ditubuhkan untuk mengelak cukai, dan dana yang dihantar kepada BVI adalah dividen daripada syarikat tersenarai awam, yang cukainya telah dibayar.
"Memandangkan pendapatan dikecualikan cukai, pengisytiharan ini tidak diperlukan untuk penyerahan cukai pendapatan tahunan," katanya.
Hakikat bahawa keluarga Lim dikaitkan dengan atau merupakan pemilik bermanfaat entiti luar pesisir adalah tidak menyalahi undang-undang dan tidak mengejutkan.
Syurga cukai popular di kalangan individu kaya-raya atas pelbagai sebab, termasuk kerana menawarkan rejim cukai yang menarik untuk pengoptimuman cukai dan pengurusan kekayaan yang sah.
Lim memberitahu Malaysiakini, BVI dipilih sebagai destinasi pelaburan "memandangkan syarikat luar pesisir itu menawarkan pelbagai peluang pelaburan yang kukuh dari segi fiskal yang diuji masa dan sah".
Tahun lalu, Forbes menyenaraikan Lim sebagai orang kelapan terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih AS$3.5 bilion.
