Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Empangan Nenggiri: K’jaan peruntuk RM200j untuk Orang Asli

PARLIMEN l Kerajaan memperuntukkan lebih daripada RM200 juta untuk masyarakat Orang Asli yang terjejas berikutan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Kelantan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata peruntukan sebanyak RM216 juta itu melibatkan tapak seluas 0.5 ekar untuk seramai 767 orang daripada 1115 Orang Asli di ketiga-tiga perkampungan yang terlibat dalam projek itu. 

Tiga perkampungan tersebut merupakan Kampung Kuala Wias, Pos Pulat dan Pos Tohoi. 

“(Sebanyak) RM200 juta diperuntukkan untuk tapak rumah berkeluasan 800 kaki persegi (dengan) tiga bilik dan dua bilik air, tapak dusun 0.5 ekar, ladang getah 5.5 ekar yang lengkap dengan kawasan sekolah rendah, asrama, kuarters guru, dewan.

“(Sebanyak) RM15 juta untuk bantuan dan pampasan, iaitu RM500 untuk setiap ketua isi rumah semasa perpindahan, bantuan RM200 dan elaun sara hidup sebanyak RM683 untuk satu ketua isi rumah selama lima tahun.

“Lima tahun ni, sementara dusun mereka atau ladang getah mereka tu berikan hasil. Dalam tempoh sebelum hasil tu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS- Kuala Krai) berhubung bentuk pakej pampasan yang diterima oleh masyarakat Orang Asli yang terjejas, di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata saguhati komuniti sekitar sebanyak RM3,000 turut diberikan bagi setiap kampung, serta sejumlah wang tidak kurang daripada RM500 diberikan, sekiranya terdapat kbur-kubur Orang Asli yang terpaksa dipindahkan dalam proses tersebut.

“Di samping itu, RM1 juta untuk program modal insan untuk komuniti Orang Asli bagi melatih kemahiran anak-anak Orang Asli untuk mereka mahir dalam aktiviti ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata projek bernilai RM5 bilion di Gua Musang itu dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 dan bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia.

Dia berkata projek itu berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.

Pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri yang didakwa untuk menyelesaikan masalah banjir, kemarau dan membekalkan bekalan tenaga elektrik itu sebelum ini mendapat bantahan keras oleh masyarakat Orang Asli setempat, yang menggambarkan bahawa ia akan memberikan kesan yang buruk kepada penempatan mereka.

https://www.malaysiakini.com/news/623887

Jamin lindungi Orang Asli, binatang liar

Sementara itu, terdahulu Ramli Mohd Nor (BN- Cameron Highlands) bertanya tindakan kerajaan untuk melindungi masyarakat Orang Asli yang terjejas dengan projek tersebut sehingga terdapat laporan bahawa mereka diserang binatang liar ekoran aktivit-aktiviti pembersihan hutan.

Bagaimanapun, Takiyuddin menegaskan bahawa pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan telah menggembeleng usaha dalam memastikan projek janakuasa hidroelektrik Nenggiri itu tidak menjejaskan masyarakat setempat, terutamanya masyarakat Orang Asli di situ.

“Memang tak dinafikan pembukaan dan pembangunan yang dilaksanakan menyebabkan pembukaan (pembersihan) hutan yang menyebabkan terjejasnya habitat binatang-binatang.

“Namun pada masa yang sama, usaha yang dilakukan oleh kerajaan umpamanya Jabatan Perhilitan supaya binatang-binatang di kawasan tersebut akan diuruskan supaya ditempatkan di tempat-tempat yang sesuai, di samping masyarakat Orang Asli di tempat-tempat berkenaan juga diberikan bimbingan dan juga nasihat untuk (cari jalan) bagaimana nak selesaikan masalah-masalah di tempat-tempat tersebut.

“Maksudnya, tindakan (yang) diambil oleh kerajaan untuk menjaga kepentingan masyarakat, di samping tak jejaskan projek pembangunan yang juga untuk kepentingan masyarakat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS