Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Oktoberfest sangat mencabar kedudukan Islam - Nasrudin
Diterbitkan:  Aug 2, 2022 3:16 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Islam tidak menghalang penganut bukan Islam untuk minum arak, namun menjadikannya sebagai pesta sama seperti mempromosi masyarakat dengan budaya tidak sihat, kata ahli jawatankuasa PAS pusat, Nasrudin Hassan.

"Islam tidak pernah menghalang individu bukan Islam jika agamanya membenarkan ia meminum arak. Namun berbeza dengan pesta arak yang dirayakan secara terbuka seperti Oktoberfest.

"Apabila arak difestivalkan acara meminumnya di dalam negara ini, ia bererti satu promosi dan galakan kepada masyarakat Malaysia untuk minum arak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Nasrudin, Islam adalah agama yang tidak membenarkan penganutnya membeli, menjual, menyedia dan meminum arak kerana ia adalah minuman yang memabukkan serta 'menghilangkan akal' sedangkan agama itu menghargai akal yang sihat.

"Sementara Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Islam adalah agama negara.

“Maka sudah barang tentu bahawa festival arak tersebut bukan sahaja tidak sesuai bahkan sangat mencabar kedudukan Islam sebagai agama negara," katanya.

Semalam pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoal keputusan kerajaan untuk tidak mengajurkan festival 'Oktoberfest' yang disifatkannya telah mencabuli prinsip Perlembagaan negara.

Dalam satu kenyataan, Lim berkata tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan semangat penubuhan Malaysia.

Lim merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad sebelum ini yang memberitahu parlimen bahawa kerajaan menolak penganjuran acara minum arak secara terbuka kepada masyarakat awam.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata perbuatan minum arak bukanlah sesuatu yang baik kepada kesihatan umum, malah ia membuka ‘pintu kejahatan’.

"Bahkan arak itu sendiri menjadi pembuka pintu masuk kejahatan dalam negara ini.

“Kejahatan yang dihasilkan mampu meruntuhkan peradaban manusia dan tamadun negara kita," katanya.

Lihat Komen
ADS