Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM diminta jelaskan pendirian Putrajaya mengenai Oktoberfest
Diterbitkan:  Aug 1, 2022 1:05 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob didesak menjelaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, yang berkata Oktoberfest tidak patut dibenarkan.

Veteran DAP, Lim Kit Siang, mendakwa pendirian tersebut sebenarnya sudah mencabuli prinsip dan dasar yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Malah kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu, pendirian tersebut bukanlah dasar yang diamalkan kerajaan sejak 65 tahun lalu.

"Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, perdana menteri kedua (Abdul Razak Hussein), dan yang ketiga (Hussein Onn) pastinya akan terkejut dengan pengkhianatan asas sebegini sekiranya mereka masih hidup hari ini.

"Bilakah kabinet mengambil pendirian yang mengatakan kerajaan menentang penganjuran Oktoberfest ini?" tanya Lim dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, pada 28 Julai lalu ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Idris berkata bahawa perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.

Kata naib presiden PAS itu, kerajaan berpendirian perbuatan meminum arak akan menimbulkan masalah sosial memandangkan ia mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat.

Kata Lim perdana menteri juga perlu menjelaskan bila kabinetnya mengambil keputusan secara rasmi untuk menganggap Oktoberfest tidak sepatutnya dibenarkan.

"Adakah kerajaan sedar bahawa dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2021, Malaysia berada di tempat ke-62 daripada 180 negara yang ditinjau dan ia merupakan kedudukan terendah Malaysia sejak carta ini diterbitkan pada 1995.

"Adakah Ismail Sabri sedar yang semua 61 negara yang mencatatkan kedudukan CPI yang lebih baik berbanding dengan Malaysia membenarkan penganjuran Oktoberfest di negara mereka, termasuklah negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu (di tempat ke-24), Qatar (31), Arab Saudi (55), Oman (56), dan Jordan (60).

"Malah, Palestin, yang tidak termasuk dalam salah satu dari 180 negara yang ditinjau juga membenarkan penganjuran Oktoberfest," katanya.

Tambah Lim, Ismail Sabri perlu menjelaskan mengapa kerajaannya lebih bimbang mengenai Oktoberfest berbanding dengan rasuah.

Lihat Komen
ADS