Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafiq perlu mohon maaf, Cuepacs ingatkan pada ‘hadiah penyapu’
Diterbitkan:  Aug 4, 2022 1:50 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan campur tangan berhubung dakwaan bahawa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, apa yang berlaku tidak selari dengan konsep Keluarga Malaysia seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan boleh menjejaskan imej pegawai perkhidmatan awam.

“Kita harus ingat, pada masa lalu sebuah kerajaan negeri pernah mengambil tindakan yang kurang wajar dengan memberikan penyapu kepada penjawat awam dalam satu majlis.

Gambar Hiasan - Adnan Mat bersama pegawai Imigresen Johor

“Akhirnya ia menimbulkan rasa kurang senang di kalangan anggota masyarakat Malaysia, kita tidak mahu pegawai yang tidak dapat menghayati falsafah dan mengamalkan semangat Keluarga Malaysia berada dalam perkhidmatan awam.

“Cuepacs amat berharap agar PM atau Ketua Setiausaha Negara dapat mengambil tindakan segera demi menjaga kebajikan kakitangan awam serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) saling berbalah pendapat mengenai dakwaan bahawa Mohd Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan imigresen.

JPA mendakwa Mohd Shafiq telah menegur pegawai Jabatan Imigresen, terutama ketua operasinya James Lee, berhubung dakwaan melanggar prosedur pemeriksaan.

JPA mendakwa kakitangan Jabatan Imigresen tidak menyemak dokumen perjalanan Mohd Shafiq dan delegasinya sebelum berlepas ke luar negara.

Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)

Sebaliknya, Presiden KPISM, Khiril Niza Khairuddin mendakwa Mohd Shafiq berang kerana tidak diberikan layanan VVIP.

Khiril berkata Mohd Shafiq enggan beratur menunggu giliran dalam barisan yang disediakan untuk orang ramai.

Hadiah penyapu pula merujuk kepada peristiwa penerimaan ‘penyapu’ daripada Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo pada tahun 2007 kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan kerana mencapai kutipan cukai yang tidak memuaskan.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, sebagai seorang pegawai tertinggi kerajaan, Mohd Shafiq sepatutnya hendaklah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pegawai bawahan mereka

“Adalah amat malang jika seseorang pegawai tertinggi dalam kerajaan memerlukan layanan bertaraf VVIP sedangkan beliau harus menyantuni pegawai kita dengan bijaksana dan memahami tugasan mereka di lapangan serta bukannya memalukan pegawai tersebut di depan khalayak ramai seperti yang didakwa oleh pihak kesatuan kakitangan Imigresen,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Cuepacs mendesak kerajaan supaya campur tangan dan menuntut permohonan maaf daripada KPPA itu.

Lihat Komen
ADS