Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan tengking di KLIA: JPA, Kesatuan Imigresen berbalah pendapat
Diterbitkan:  Aug 4, 2022 9:10 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) saling berbalah pendapat mengenai dakwaan bahawa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam (3 Ogos).

Dalam satu kenyataan, JPA mendakwa Mohd Shafiq telah menegur pegawai Jabatan Imigresen, terutama ketua operasinya James Lee, berhubung dakwaan melanggar prosedur pemeriksaan.

JPA mendakwa kakitangan Jabatan Imigresen tidak menyemak dokumen perjalanan Mohd Shafiq dan delegasinya sebelum berlepas ke luar negara.

"Malahan mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan. JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi udang-undang.

"Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” jelasnya dalam satu kenyataan.

JPA juga menegaskan bahawa teguran tersebut tidak dibuat di khalayak ramai dan dilakukan dengan berhemah.

"Malah KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah.

"Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen,” kata JPA dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 2.30 pagi tadi.

Dalam satu kenyataan semalam, Presiden KPISM, Khiril Niza Khairuddin mendakwa Mohd Shafiq berang kerana tidak diberikan layanan VVIP.

Khiril berkata Mohd Shafiq enggan beratur menunggu giliran dalam barisan yang disediakan untuk orang ramai.

“Beliau tidak dapat mencontohi kepimpinan sepertimana KPPA sebelumnya dan tidak layak menjawat jawatan tersebut,” kata Khiril yang menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Mohd Shafiq.

Menurut Khiril, kejadian itu berlaku pagi semalam di bilik VIP KLIA.

Dia berkata Mohd Shafiq tidak berpuas hati kerana tiada petugas imigresen di bilik VIP itu.

Khiril menjelaskan, petugas imigresen hanya berada di bilik VIP sekiranya mendapat makluman awal.

"Pegawai ini yang bertugas sebagai ketua operasi Imigresen KLIA telah dipanggil, ditengking dan diherdik serta diminta supaya berdiri tegak di tengah kalayak ramai oleh KPPA.

"Tindakan yang tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai serta kakitangan imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadab serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri," jelasnya.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin telah mengarahkan Jabatan Imigresen menyiasat kejadian itu bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Hamzah dilaporkan memberitahu media malam tadi bahawa dia telah menghubungi ketua pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud untuk menjalankan siasatan.

Lihat Komen
ADS