Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akaun palsu 'troll' FB, IG: PDRM nafi laporan Meta kaitkan anggota
Diterbitkan:  Aug 6, 2022 8:45 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

PDRM menafikan laporan dikeluarkan Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, yang mendakwa beberapa individu dikaitkan polis berada di sebalik rangkaian laman media sosial dan akaun yang cuba mempengaruhi orang ramai secara rahsia.

"PDRM memandang serius laporan pihak syarikat Meta Platforms Incorporated yang mendakwa terdapat akaun palsu di media sosial, yang mempunyai hubungan dengan PDRM.

"PDRM menafikan dakwaan tersebut dan sedang mengumpul maklumat lanjut mengenainya," maklum Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin pada satu kenyataan malam tadi.

Laporan Meta terbaru mendakwa telah membatalkan 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram. Meta berkata siasatannya mendapati akaun ini dikaitkan dengan pasukan polis Malaysia.

“Kami menemui rangkaian ini selepas menyemak maklumat tentang sebahagian kecil aktiviti ini yang pada mulanya disyaki berasal dari China oleh penyelidik di Universiti Clemson.

"Walaupun orang di belakangnya cuba menyembunyikan identiti dan penyelarasan mereka, siasatan kami menemui kaitan dengan Polis Diraja Malaysia.”

Meta dalam laporan Ancaman Musuh Suku Tahunan (Quarterly Adversarial Threat) yang dikeluarkan kelmarin mendakwa rangkaian akaun palsu ini menyiarkan hantaran dalam bahasa Melayu sebagai menyokong gabungan kerajaan semasa dan cuba menggambarkan pengkritiknya sebagai korup, selain mempromosikan pasukan polis.

“Biasanya, aktiviti pengeposan mereka bertambah pantas pada hari bekerja, mengambil rehat untuk makan tengah hari. Akaun palsu mereka agak kurang dibangunkan dan sebahagian daripada mereka menggunakan gambar profil yang dicuri.

"Sesetengah daripadanya telah dikesan dan dilumpuhkan oleh sistem automatik kami," dakwa syarikat itu lagi dalam laporan berkenaan.

Sementara itu, pengerusi biro media sosial DAP Syahredzan Johan menyoal sama ada kerajaan menggunakan wang awam atau tidak untuk membiayai kegiatan sedemikian.

"Jika benar, ia mendedahkan usaha bersepadu untuk memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun dan laman web palsu untuk kepentingan politik kerajaan," katanya.

"Laporan ini menunjukkan kerajaan membiayai troll dan cybertrooper menggunakan dana dan sumber awam untuk kepentingan politik mereka," katanya

Meta berkata laporannya memberikan gambaran mengenai ancaman global yang telah ditangani oleh syarikat gergasi teknologi itu secara global, termasuk di Malaysia, Rusia, Israel, Pakistan, India, Afrika Selatan, Greece dan Filipina.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS