mk-logo
Berita
LCS: PM panggil Azam, Idrus bukti mereka tak profesional - Guan Eng
Diterbitkan:  Aug 11, 2022 3:25 PM
Dikemaskini: Aug 12, 2022 2:07 AM

Idrus Harun dan Azam Baki dianggap DAP tidak layak memegang jawatan mereka yang ada sekarang kerana hanya bertindak selepas mendapat campur tangan daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata Idrus dan Azam sepatutnya boleh memulakan tindakan lebih awal bukannya menunggu arahan daripada Ismail Sabri untuk mula menyiasat skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Gagal bertindak ke atas aduan awam dan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sehingga memerlukan arahan khas daripada perdana menteri untuk berbuat demikian menunjukkan bahawa kedua-dua individu terbabit tidak layak memegang jawatan mereka Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini menyerlahkan lagi pentingnya kedua-dua jawatan tersebut bebas daripada kawalan perdana menteri bagi mengelakkan daripada disalahgunakan sebagai senjata politik," katanya hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mendakwa, tindakan perdana menteri memanggil Idrus dan Azam untuk menyegerakan siasatan adalah pengakuan terbuka bahawa kedua-duanya gagal melaksanakan tanggungjawab untuk bertindak secara bebas serta profesional.

Semalam Ismail Sabri menjelaskan dia sudah memanggil Idrus dan Azam untuk meminta mereka menyegerakan siasatan ke atas projek LCS berkenaan.

Kata Ismail Sabri arahan itu diberikan kepada Idrus dan Azam selaras dengan ketetapan diambil kabinet semalam.

Isu LCS menjadi panas selepas PAC mengeluarkan laporan siasatan mereka mengenai pembinaan enam kelangkapan pertahanan yang sepatutnya disiapkan untuk TLDM.

Siasatan PAC juga menunjukkan beberapa nasihat dan saranan pegawai tertinggi TLDM tidak diendahkan oleh beberapa pihak yang terlibat dalam projek tersebut termasuk menteri dan syarikat yang diberikan tanggungjawab membinanya.

Lim berkata kegagalan Idrus dan Azam bertindak segera mengundang kemarahan orang ramai kerana ia melibatkan dana milik negara.

Dalam keadaan begitu, katanya, Azam dan Idrus kelihatan acuh tak acuh dengan isu tersebut, malah hanya bersedia untuk bertindak apabila diarahkan oleh perdana menteri.

"DAP mengulangi pendiran bahawa Azam dan Idrus perlu berundur kerana tidak layak memegang jawatan sepenting itu, dan supaya pengganti mereka boleh menyiasat serta bertindak terhadap pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Lihat Komen
ADS