Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat dikaitkan kes rasuah Zahid dapat kontrak tambahan RM31 juta
Diterbitkan:  Aug 16, 2022 11:32 AM
Dikemaskini: Aug 17, 2022 6:57 AM

(Nota editor: Tambahan berkenaan penafian Datasonic bahawa syarikat itu membuat bayaran kepada Zahid)

Syarikat perkhidmatan IT, Datasonic Group Bhd (DGB), yang dikaitkan dalam perbicaraan rasuah ke atas bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, berjaya mendapatkan kontrak tambahan untuk subsidiarinya, bernilai RM31.39 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kontrak tambahan itu untuk pembekalan cip pasport Malaysia.

Dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia semalam, DGB berkata kontrak asal subsidiarinya, Datasonic Technologies Sdn Bhd’s (DTSB), berjumlah RM318.75 juta.

Kontrak tambahan itu menjadikan jumlah nilai siling kontrak kepada RM350.14 juta.

Menurut laporan Bernama hari ini, DGB berkata pindaan kontrak melibatkan perubahan bilangan perkhidmatan penyelenggaraan peralatan, perisian dan aplikasi sistem untuk infrastruktur utama awam dan pembangunan utama awam untuk 2022 dan 2023.

Ia turut mengubah bilangan perkhidmatan perkhidmatan penyelenggaraan peralatan, perisian dan aplikasi sistem cip untuk tempatan dan luar negara untuk 2022 dan 2023 dan perkhidmatan penyelenggaraan peralatan, perisian dan aplikasi sistem E-Gate untuk Malaysia dan kios prabaca untuk 2022 dan 2023, menurut laporan itu lagi.

“Di bawah terma surat itu, DTSB dikehendaki menerbitkan bon prestasi berjumlah kira-kira RM3.19 juta kepada KDN dengan tempoh sah dilanjutkan sehingga 30 Nov 2024,” katanya seperti dipetik.

Menurut DGB, perubahan nilai siling kontrak dijangka menyumbang kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dan tahun kewangan selepas itu untuk tempoh kontrak.

Ia juga tidak memberi sebarang impak kepada modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam kumpulan itu, kata syarikat itu lagi.

Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu pada 2017, Zahid ketika menjadi menteri dalam negeri menerima dua keping cek dengan jumlah keseluruhan RM6 juta daripada timbalan pengarah urusan DGB Chew Ben Ben.

Dalam pembelaannya, Zahid berkata dua cek tersebut bukannya rasuah tetapi "sumbangan politik".

Penafian Datasonic

Pada 19 Oktober 2018, Datasonic menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia menafikan syarikat itu membuat sebarang pembayaran kepada Zahid susulan laporan oleh The Edge bertajuk "Datasonic, MyED implicated in charges against Zahid".

"Syarikat ingin menjelaskan bahawa pihak syarikat atau mana-mana pengarahnya tidak membuat sebarang pembayaran kepada Zahid seperti yang dilaporkan TheEdgeMarkets.com, berkaitan pembekalan 12.5 juta cip pasport Malaysia.

"DTSB telah mendapat kontrak pembekalan cip halaman data polikarbonat dan sistem cetakan selama lima tahun tahun secara tender terbuka pada April 2012.

"Kami meletakkan cip dalam halaman data polikarbonat berbanding muka belakang pasport dan dengan harga 15 peratus lebih rendah berbanding vendor sebelumnya.

"Ia memberikan penjimatan RM56.25 juta kepada kerajaan sepanjang tempoh lima tahun," kata syarikat itu.

Lihat Komen
ADS