Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Datasonic nafi buat bayaran pada Zahid
Diterbitkan:  Oct 19, 2018 2:05 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Datasonic Group Bhd menafikan syarikat itu atau mana-mana pengarahnya membuat bayaran kepada Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi berkaitan kontrak pembekalan 12.5 juta cip paspot.

Perkara itu dinyatakan dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia dibuat setelah Zahid dituduh menerima dua cek RM6 juta daripada pengarah urusan dan pemegang saham utama Datasonic Chew Ben Ben, pagi tadi.

Menurut kertas pendakwaan mahkamah, Datasonic pada Disember 2015, memperoleh kontrak kerajaan bernilai RM318.75 juta untuk membekalkan 12.5 juta cip pasport dari Disember 2016, sehingga akhir November 2021.

Syarikat itu juga berkata Datasonic Technologies Sdn Bhd ("DTSB") mendapat kontrak pembekalan laman data polikarbonat dan sistem cetakan secara tender terbuka.

"Kami meletakkan cip dalam halaman data polikarbonat berbanding muka belakang pasport dan dengan harga 15 peratus lebih rendah berbanding vendor sebelumnya.

"Ia memberikan penjimatan RM56.25 juta kepada kerajaan sepanjang tempoh lima tahun," kata syarikat itu dalam kenyataan.

Saham Datasonic menjunam selepas berita yang mengaitkan Chew dengan dakwaan terhadap Zahid.

Ketika dagangan dibuka, sahamnya pada harga 71 sen seunit sebelum merosot kepada 39 sen.

Selepas mengeluarkan penafian, saham syarikat itu setakat 2.35 petang tadi merosot 18 sen pada nilai 51 sen seunit.

Lihat Komen
ADS