Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Surat sokongan' takkan pengaruhi pemilihan BRA, janji menteri

Kementerian Sumber Manusia memberi jaminan, pemilihan agensi pengambilan Bangladesh (BRA) untuk menghantar pekerja dari negara itu ke sini tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana surat sokongan trermasuk daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, berkata surat sokongan sebegitu yang diterima sesebuah agensi pengambilan pekerja Malaysia untuk melobi bagi pihak rakan kongsi mereka dari Bangladesh adalah "amalan biasa".

"Biasalah, ramai hantar macam ni. Tapi setakat kita terima sajalah.

"Mana-mana syarikat yang berminat (untuk menjadi BRA), mereka kena buat permohonan rasmi, bukan mengemukakan surat sokongan daripada mana-mana pihak," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Saravanan, permohonan berkenaan pula adalah datang daripada pihak agensi sendiri, bukan pihak ketiga.

Maksudnya, kata menteri terbabit, agensi berkenaan perlu membuat permohonan seperti biasa dengan menghantar profil syarikat serta butiran syarikat dan keperluan lain yang ditetapkan.

"Bukan satu muka surat memaparkan nama syarikat saja... kita tak akan layan," katanya lagi.

Lelaki dari Jelebu

Saravanan berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dua surat cadangan yang ditandatangani dua ahli parlimen Umno untuk mendapatkan sokongan Ismail Sabri bagi memasukkan empat agensi sebagi BRA yang diluluskan Kementerian Sumber Manusia.

Ahli parlimen terbabit ialah Mohd Salim Sharif (Jempol) dan Mohd Nizar Zakaria (Parit).

“Syor kedua-dua agensi ini adalah untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap pekerja dari Bangladesh, kerana dikhuatiri pelantikan hanya 25 BRA tidak mencukupi untuk pasaran buruh Malaysia,” menurut surat itu.

Walaupun nama agensi Malaysia dan pemiliknya yang melobi untuk cadangan itu tidak jelas, Mohd Salim dan Mohd Nizar - yang mengesahkan surat itu - memberitahu Malaysiakini, mereka didatangi seorang lelaki dari Jelebu di parlimen.

Mohd Salim Sharif

Mereka juga menyifatkan amalan menandatangani surat cadangan sedemikian untuk pelbagai permohonan sebagai amalan biasa bagi seseorang ahli parlimen.

"Kita wakil rakyat ni, kita hanya bagi sokongan. Tak ada isu.

"Dia datang minta surat.. dia datang dari jauh ke parlimen untuk minta surat, jadi saya bagilah.

"Bukan kuasa saya untuk lulus tak lulus permohonan," kata Mohd Salim yang turut menegaskan dia tidak mengenali pemilik agensi itu secara peribadi atau mempunyai sebarang kepentingan untuk melobi BRA.

Mohd Nizar Zakaria

Begitu juga dengan Mohd Nizar yang menjelaskan dia hanya mengeluarkan surat sokongan seperti yang diminta, tanpa mempunyai kepentingan dalam pengambilan pekerja asing.

"Tak ada kepentingan apa, orang minta sokongan kita bagi.

"Tak kenal pun orang tu siapa, orang yang sama jumpa Salim, dia kata sekarang tenaga kerja kita tak cukup jadi dia nak minta bawa masuk.

"Saya bukan orang perniagaan. Saya tak ada kepentingan apa-apa," kata Mohd Nizar ketika dihubungi.

Sementara itu, Saravanan mengulangi bahawa pemilihan BRA yang diluluskan untuk menghantar pekerja Bangladesh ke negara ini dijalankan oleh panel penilai kementerian.

"Dulu apabila kita pilih 25 (BRA) pun, walaupun ada 1,500 lebih, kementerian cuma layan 61 saja yang betul-betul hantar semua butiran dan jawatankuasa penilaian pilih 25 dari 61 yang hantar semua maklumat terkini termasuk tentang pengarah syarikat, kedudukan kewangan dan sebagainya.

"Jadi, setakat surat-surat (sokongan) macam ini biasalah, kita ambil maklum saja," kata Saravanan lagi.

Bulan lalu, SPRM melancarkan siasatan terhadap pemilihan 25 agensi pengambilan pekerja Bangladesh yang diberi kuasa oleh Malaysia berikutan beberapa laporan yang dibuat terhadap dakwaan penyelewengan dalam proses itu.

Walaupun siasatan sedang dijalankan, Malaysia pada 9 Ogos menerima kedatangan kumpulan pertama pekerja Bangladesh yang direkrut di bawah syarat dua hala baru yang ditandatangani dalam memorandum persefahaman pengambilan buruh Dis tahun lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS