Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan tak boleh pinda Perlembagaan untuk beri kerakyatan anak lahir luar negara'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak kepada ibu warga Malaysia dan bapa warga asing yang lahir di luar negara diberi kewarganegaraan adalah melangkaui kuasa kerajaan.

Wan Junaidi berkata, pindaan untuk perkara itu memerlukan penglibatan Majlis Raja-Raja.

"Kes ini masih dibicarakan di mahkamah. Kita nak tunggu apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan.

"Selepas itu baru kerajaan boleh buat keputusan (untuk langkah seterusnya). Kita bimbang apa saja langkah yang kita buat, kalau mahkamah buat keputusan berlainan, apa yang kita buat itu tiada guna," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Sebaik saja Mahkamah Persekutuan mencapai keputusan, katanya lagi, perkara itu akan dibawa kepada kerajaan yang kemudian akan membawanya ke Majlis Raja-Raja.

Berita Harian melaporkan Wan Junaidi akan mengadakan pertemuan berhubung isu kewarganegaraan dengan sekumpulan wanita warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing, hari ini.

Semalam, dia berkata pertemuan itu diatur untuk membawa perkara itu kepada kerajaan.

Dia bagaimanapun enggan mengulas sama ada kerajaan bersedia atau tidak untuk meminda Perlembagaan kerana enggan "mendahului mahkamah".

Pertemuan ini akan turut melibatkan kumpulan Family Frontiers, yang memulakan tindakan perundangan terhadap kerajaan agar anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara untuk mendapat status kewarganegaraan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata pertemuan itu akan membolehkan kumpulan tersebut membentangkan cadangan yang boleh dibawa kepada kerajaan.

Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021, yang memutuskan wanita Malaysia mempunyai hak yang sama dengan lelaki Malaysia untuk mewariskan kerakyatan kepada anaknya yang lahir di luar negara.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS