Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS yakin rakyat Pahang sudah sedia tukar kerajaan negeri
Diterbitkan:  Aug 18, 2022 2:39 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang sudah menyenarai pendek beberapa kerusi parlimen dan lebih 10 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang berpotensi dimenangi parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengarahnya, Hamdan Abdullah, berkata berdasarkan kedudukan sokongan semasa dan gelombang rakyat untuk memberi peluang kepada PAS mentadbir Pahang semakin tinggi, PAS percaya pentadbiran kerajaan negeri akan berubah selepas ini.

"Kami telah mencapai unjuran undi kemenangan di beberapa kerusi tambahan untuk menawarkan satu urus tadbir yang telus, tanpa ketirisan dan rasuah kepada rakyat Pahang.

"Ini bermakna PAS mampu mengambil alih secara demokrasi pentadbiran kerajaan Pahang yang telah lama diuruskan oleh BN dengan segala macam isu diketahui dan tidak diketahui rakyat negeri ini," katanya dalam kenyataan media di Kuantan hari ini.

Hamdan berkata, kerajaan tanpa rasuah, kronisme, nepotisme dan ketirisan dalam urus tadbir adalah aspirasi PAS jika rakyat Pahang memberi mandat kepada parti itu untuk menerajui kerajaan negeri pada PRU ke-15 nanti.

Katanya, PAS juga akan memperkenalkan 'Indeks Kesejahteraan' sebagai indeks prestasi utama (KPI) bagi mengukur kebolehan PAS mengurus tadbir kerajaan Pahang dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas diberikan mandat.

"Indeks ini akan menunjukkan kadar kesejahteraan rakyat di Pahang dan diukur berdasarkan kategori pendidikan, kesihatan, ekonomi, keselamatan dan keceriaan," katanya lagi.

Dia memberitahu, slogan PAS Teraju Pahang diperkenalkan parti itu sejak PRU ke-14 lalu menjadi pencetus kepada usaha ahli, penyokong dan pendukung parti terbabit yang ingin melihat kerajaan berintegriti tinggi memimpin negeri.

Gerakan PAS untuk menguasai Pahang kelihatan dibuat secara terbuka akhir-akhir ini dengan langkah awal dimulakan sayap pemuda parti itu pada 16 Ogos lalu dengan mengajak penyokong Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan negeri yang kini dikuasai Umno-BN.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, juga secara jelas menyasarkan Pahang sebagai satu lagi negeri yang ingin dikuasai parti berkenaan selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kelantan dan Terengganu dimenangi PAS dalam PRU ke-14, manakala Kedah dikuasai selepas Langkah Sheraton berlaku.

Bagaimanapun pelawaan itu tidan mendapat sambutan mana-mana pihak setakat ini, malah semalam Pemuda PH Pahang beranggapan ajakan Ahmad Fadhli itu sebagai satu lagi 'drama' PAS.

Mereka juga menyatakan, sikap tersebut menunjukkan PAS sanggup berbuat apa saja mana-mana parti demi untuk mendapatkan kuasa.

Pemuda Umno Malaysia pula berkata tidak mustahil untuk PAS kembali menjalin kerjasama dengan DAP - yang kini menjadi seteru mereka - berdasarkan sikap ditunjukkan Ahmad Fadhli.

"Kalau PAS boleh meninggalkan Umno dalam Muafakat Nasional untuk bersama dengan Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil juga mereka boleh berubah untuk bersama dengan 'pasangan' baru," katanya.

Namun semalam Ahmad Fadhli menjelaskan kenyataannya mengajak pengundi menumbangkan BN di Pahang dituju kepada penyokong PH saja, bukannya kepada parti dalam gabungan terbabit.

Apa masalahnya? Pengundi PH pun rakyat Malaysia dan pengundi juga.

"Lagipun di Kelantan, pemimpin Umno dan PH sudah ada yang sepentas ceramah menyerang kerajaan negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS