Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ajak pengundi PH bukan tanda mahu kerjasama dengan PH’

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menegaskan kenyataan mengajak pengundi untuk tumbangkan BN di Pahang dituju kepada penyokong Pakatan Harapan (PH), bukan parti-parti dalam gabungan pembangkang itu.

Mengulas kenyataan rakan sejawatnya daripada Umno, ahli parlimen Pasir Mas itu berkata pengundi PH juga rakyat Malaysia.

"Saya hanya ajak pengundi PH sebelum ini di Pahang untuk tumbangkan BN, bukannya ajak parti-parti dalam PH atas  nama kerjasama parti. Apa masalahnya? Pengundi PH pun rakyat Malaysia dan pengundi juga.

"Lagipun di Kelantan, pemimpin Umno dan PH sudah ada yang sepentas ceramah menyerang kerajaan negeri," katanya dalam hantaran di Facebook sebagai membalas kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi Dusuki

Malaysiakini semalam melaporkan Ahmad Fadhli berkata partinya itu berpotensi menawan negeri Pahang jika kena pada kaedah dan pendekatannya.

Dia menyeru supaya penyokong-penyokong PH supaya berfikir sejenak untuk melihat betapa pentingnya mengubah kepimpinan negeri terbabit.

Bagaimanapun Asyraf Wajdi beranggapan tidak mustahil untuk PAS kembali menyertai gabungan disertai PKR dan DAP, susulan kenyataan itu.

Sementara itu Ahmad Fadhli berkata kenyataannya itu senada dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassa yang menyebut BN tekad untuk merampas Kelantan dan Terengganu.

"Sepatutnya kena terima kasih kepada saya kerana yang diajak ubah sokongan ialah pengundi PH, dengan sendirinya undi PH akan berkurangan jika ia disahut.

"Saya belum mengajak pengundi BN ubah sokongan lagi, jadi tak perlu bimbanglah. Tidak ditolak kemungkinan bahawa selepas ini sudah pasti kita ajak pengundi BN pula," katanya.

Lihat Komen
ADS