Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zainab bukan isteri saya - Abdul Latiff
Diterbitkan:  Aug 22, 2022 2:14 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Bekas timbalan menteri pertahanan, Abdul Latiff Ahmad menafikan dakwaan bahawa isterinya terlibat dalam skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Ini susulan dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa isteri Abdul Latiff memiliki “syarikat palsu” yang menerima bayaran daripada projek berkenaan.

"Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.

"Sebagai anggota kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Latiff ialah timbalan menteri pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013.

Dia meninggalkan Umno selepas pilihan raya umum 2018 dan kemudian menyertai Bersatu.

Terdahulu, Rafizi mendakwa “syarikat palsu” yang menerima bayaran daripada projek LCS dimiliki salah seorang isteri Latiff.

Kata Rafizi, perkara itu didedahkan dalam pangkalan data dokumen bocor Paradise Papers dan dalam laporan siasatan dalaman projek tersebut.

Kepincangan dalam perolehan kapal LCS mencuri tumpuan selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak bernilai RM9 bilion, dengan RM6 bilion dibayar pada 2020.

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) merupakan syarikat yang mendapat projek membina enam kapal berkenaan.

Bagaimanapun tiada satu pun kapal disiapkan selepas lapan tahun projek itu dimulakan pada tahun 2014.

Minggu lepas, bekas pegawai kanan BNS yang juga bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa dengan pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ahmad Ramli, 78, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Semalam Rafizi berkata pegawai tentera bukanlah dalang di sebalik dakwaan penyelewengan dalam projek pembelian kapal berkenaan.

Sebaliknya menurutnya, skandal tersebut dirancang oleh 'jerung' yang mempunyai kuasa dalam projek itu di luar pasukan keselamatan negara.

Kuasa yang ada pada 'jerung' itu, tambah Rafizi, termasuk melantik kontraktor, menentukan spesifikasi projek, membuat bayaran pendahuluan dan mempunyai wang tunai untuk disalurkan ke luar negara sebelum penghantaran kapal dibuat.

Lihat Komen
ADS