Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dituduh curi kajian siswa, UM buat laporan polis
Diterbitkan:  Aug 29, 2022 8:06 PM
Dikemaskini: 12:08 PM

Universiti Malaya telah membuat laporan polis terhadap dakwaan pihaknya telah mencuri hasil penyelidikan seorang pelajar pascasiswazah, selepas kisah pelajar itu tular di media sosial.

Abbod Ali Mohammed Saeed, 34, dari Yaman sebelum itu membuat laporan polis sendiri dan membuat akuan bersumpah mendakwa bahawa dua penyelianya telah menggunakan penyelidikannya untuk kepentingan komersial mereka sendiri.

"Universiti Malaya (UM) menafikan tuduhan yang tular di platform media sosial oleh seorang calon PhD antarabangsa bahawa kajian penyelidikan beliau telah diambil oleh penyelia beliau tanpa kebenaran.

"Adalah dasar Universiti bahawa hasil penyelidikan dan hasil ilmiah merupakan hak milik Universiti," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Universiti itu berkata menjadi dasar institusi pengajian itu bahawa semua penyelidikan yang dijalankan menggunakan kemudahannya adalah menjadi milik UM.

UM berkata universiti itu telah membantu Abbod Ali dalam menamatkan pengajian kedoktorannya, termasuk melanjutkan tempoh pengajiannya selama maksimum 12 semester, di bawah tajaan yuran.

"Universiti juga telah mengadakan beberapa sesi kaunseling dan melantik Penyelia tambahan bagi membantu beliau.

"Namun calon tersebut masih didapati tidak berupaya untuk menamatkan pengajiannya dalam tempoh pelanjutan yang diberi.

'Akses dibatalkan'

Topik penyelidikan Abbod Ali ialah penggunaan teknologi pengimbasan dalam sistem pengangkutan pintar termaju (AITS).

Dia berkata penyelianya telah menawarkan untuk penyelidikan itu dijalankan di bawah syarikat penyelidikan UM dan paten teknologi itu akan dikongsi.

"Namun, selepas kajian dibuat pada 2017, kata laluan dan akses saya kepada sistem telah ditukar dan penyelia saya berkata sistem itu kini milik syarikat yang tiada kaitan dengan UM."

Pada Februari 2022, beliau menerima surat daripada UM menamatkan pencalonan kedoktorannya dengan menyatakan kemajuan tidak memuaskan dalam dua semester berturut-turut.

Dia berkata data yang didakwa diambil oleh penyelianya adalah hasil kerjanya selama tujuh tahun, malah sebelum dia memulakan kursus kedoktoran.

Katanya, dia telah melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan universiti, yang seterusnya membenarkannya meneruskan penyelidikan berkenaan selama tiga semester lagi.

Bagaimanapun, dia mendakwa tidak dibekalkan dengan alatan yang diperlukan termasuk di makmal.

“Saya telah membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk pendidikan di Malaysia daripada ijazah sarjana muda hingga doktor falsafah. Ia mengambil masa 15 tahun.

“Tetapi sekarang saya dimalukan, diberi maklumat palsu dan tanggapan palsu dibuat mengenai saya,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS