Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | PAS memberi amaran dan larangan kepada mana-mana ahli atau pimpinan yang tidak terpilih sebagai calon PRU ke-15 agar tidak bertindak memboikot parti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata parti itu juga turut melarang ahli serta pemimpin di peringkat kawasan memboikot calon sekiranya kerusi itu diberi kepada parti rakan.

"Calon-calon pilihan raya, saya nak minta satu saja.

"Sekiranya orang, kawan, rakan yang kita berharap jadi calon (tetapi) tidak terpilih atas sebab tertentu, sama ada calon lebih baik atau kawasan kita cadang dapat kepada rakan politik, dilarang memboikot parti di pilihan raya.

"Untuk maju ke depan sebagai model parti politik terbaik di Malaysia, pemimpin dan ahli PAS tidak akan boikot parti jika hasrat diri sendiri tidak tercapai kita akan laksanakan apa sahaja keputusan pimpinan PAS," katanya ketika ucapan pengulungan Muktamar PAS ke-68 di Alor Setar, hari ini.

Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata, semua pihak perlu akur dengan setiap keputusan berkaitan calon selepas dimuktamad pimpinan PAS Pusat.

Dia juga menegaskan selepas keputusan pencalonan dibuat sebarang usaha melobi untuk mengubah keputusan diharamkan.

"Selepas keputusan dibuat PAS Pusat (berhubung calon), sebarang rombongan untuk mengubah keputusan, melobi menukar calon itu diharamkan," katanya.

Sementara itu Sanusi menjelaskan PAS menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen dalam PRU ke-15.

Katanya, daripada jumlah itu jawatankuasa pilihan raya PAS sedang menganalisis kawasan yang mencapai KPI untuk berada dalam senarai 80 kawasan PAS akan tanding.

"Mana-mana kawasan yang tidak capai KPI akan digugurkan diganti kawasan lain yang didapati ada peningkatan prestasi baik dari segi persiapan jentera mahupun keperluan lain untuk hadapi pilihan raya di mana sasaran PAS menang paling minima 40 kerusi parlimen.

"Jika ada 40 kerusi di parlimen, tidak ada mana-mana parti dapat bentuk kerajaan persekutuan tanpa PAS," jelasnya.

Lihat Komen
ADS