Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Usul penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu- Islam yang dibawa Dewan Ulama PAS Pusat diterima sebulat suara di sebalik teguran perwakilan ke atasnya.

Perwakilan PAS Taiping, Mahjub Hanafi berkata, pihaknya menyokong usul tersebut tetapi menegaskan parti itu menyertakan nama Umno di dalamnya, bukan sekadar Bersatu.

"Kami sokong penuh usul Dewan Ulama.

"Saya dapati dalam kenyataan usul terdapat kepentingan kita untuk wujudkan satu kekuatan bagi hadapi PRU ke-15 ialah dengan pertandingan satu lawan satu, tapi tak sebut Umno," katanya.

Menurut Mahjub, keberadaan Umno adalah penting kerana untuk mendapatkan kemenangan, PAS juga memerlukan undi mereka.

Pada masa sama dia mengakui Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, ada menyindir dan menganggap PAS terhegeh-hegeh mahu bersama dengan mereka.

Namun, katanya, PAS perlu melihat ada perbezaan di antara pemimpin dan ahli akar umbi Umno.

"Kita kena lihat presiden Umno dan ahli di bawah seumpama kepala kerata api dengan gerabak. Ahli Umno sekarang ini punya hubungan baik dengan PAS di peringkat akar umbi.

"Program rasmi kita ajak akar umbi Umno dan mereka hadir dengan suasana mesra," katanya.

Mahjub juga mengingatkan pimpinan pusat serta Pemuda PAS Malaysia agar lebih berhati-hati memberi kenyataan menyerang Umno.

Ibarat kepala kereta api, gerabak

Katanya walaupun Ketua Penerangan PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin sudah memberi lampu hijau kepada ahli untuk menyerang balas Umno, ia mesti dikawal sehingga tidak memutuskan hubungan di antara ahli kedua-dua parti.

"Ini amat penting walau presiden Umno bertegas untuk bergerak solo dalam PRU ke-15.

"Saya cadang satu pelan tindakan tersusun dibuat. Kita terus keluarkan surat jemputan kepada pimpinan Umno untuk bersama dalam PRU ke-15 agar satu lawan satu dapat dijayakan.

"Teruskan, walau mereka tak berminat. Surat itu kita tunjukkan kepada akar umbi PAS, kepada Umno, dan pimpinan PAS pusat kena buat kenyataan bahawa kita hargai Umno di peringkat akar umbi," katanya.

Mengandaikan pemimpin pusat Umno sebagai kepala kereta api dan ahli mereka di bawah sebagai gerabaknya, Mahjub berkata, usaha perlu digerakkan agar 'cangkuk' yang mempertaut kedua-dua kumpulan itu dapat diputuskan.

"Inilah yang kita harapkan, usaha kita ini dapat putuskan cangkuk (gerabak) dengan kepala gerabak ini.

"PAS Taiping sokong usul, (tapi) jangan kita lupa pada Umno kerana mereka terdiri orang Melayu yang menjadi penentu kemenangan dalam PRU ke-15," katanya.

Sementara perwakilan PAS Tenggara, Mohd Nazari Mokhtar, pula tampil memberi peringatan supaya PAS tidak menjadi hero yang hanya bersifat retorik.

Mohd Nazari Mokhtar

"Saya membangkang (usul) bukan kerana tak suka, saya bangkang kerana saya terkenang sahabat bersama kita (sebelum ini) iaitu Gagasan Sejahtera, apa sudah jadi dengan mereka?

"Jadi kalau kita nak memperkasakan persiapan hadapi PRU ke-15, saya teringat perbahasan kita dalam muktamar pasti ada pimpinan Berjasa dan Ikatan, mereka sahabat kita.

"Saya nak tegaskan kita tak boleh jadi hero yang retorik, PAS mesti dilihat hero yang tulen dan sejati," katanya.

Bekas calon PAS dalam pilihan raya kecil Port Dickson pada 2018 itu juga menyatakan penyatuan parti politik tidak sepatutnya hanya terhad kepada Melayu-Islam.

Katanya disebabkan PAS memerlukan undi daripada pelbagai kaum dan agama termasuk yang ada di Sabah dan Sarawak. Justeru tambah Mohd Nazari, PAS perlu terbuka dan membuktikan mereka beramal dengan budaya politik matang dan sejahtera.

"Ini memberi ruang kepada PAS perkasa dalam pilihan raya. Kita buka kerjasama dengan semua parti kecuali PKR dan DAP, kerana PAS untuk semua," katanya.

Ketika usul tersebut dibuka untuk undian, ia kemudian diterima secara sebulat suara.

Lihat Komen
ADS