Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air mata penyokong mengalir lihat kelibat Zahid

Sedih, terkilan dan kecewa dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sekumpulan penyokong parti itu dari Seberang Takir, Kuala Terengganu berkumpul menyatakan solidariti kepada pemimpinnya.

Dengan menaiki dua buah bas yang disewa RM1,000 setiap satu, rombongan penyokong Ahmad Zahid itu melunaskan bayaran tersebut dengan berkongsi sesama sendiri.

Kira-kira 100 yang hadir itu mendakwa mereka merupakan penyokong tegar Umno dan menganggotai parti tersebut sejak berdekad- dekad lalu.

Mereka dikatakan bertolak dari Terengganu kira-kira jam 9.30 malam semalam dan tiba di Shah Alam jam 5 pagi tadi.

Seorang daripada mereka ialah Asri Zakaria yang merupakan pembantu khas bekas menteri besar, Ahmad Razif Abd Rahman (Adun Seberang Takir).

Asri yang mengetuai rombongan tersebut berkata rancangan menyatakan solidariti kepada Zahid telah dirancang sejak bulan lalu lagi.

Asri Zakaria

“Kami sebagai penyokong rasa sedih sebab presiden kami didakwa. Presiden kami ni bersemangat tinggi.

“Kalau tak ada semangat begitu kuat, maka hancurlah Umno sebab dia tahu tanggungjawab dia sebagai presiden parti dan sanggup lakukan apa saja untuk parti dan ahli Umno,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di pekarangan bangunan mahkamah Shah Alam hari ini.

Zahid tak sombong

Mereka yang hadir berpakaian serba putih dan berseluar hitam dengan rata-ratanya dalam lingkungan usia 50-an dan 60- an.

“Tadi semasa Datuk Seri Zahid turun kereta, saya sebagai seorang wanita, jatuh air mata kerana sedih… satu-satu pemimpin Umno kita dah lama (veteran).

“Semangat wanita yang datang ni tetap utuh dan Umno masih boleh bangkit.

"Kalau boleh harap (keputusan mahkamah) seadil-adilnya dan insya-Allah tak jadi macam Datuk Seri Najib Razak,” kata penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Che Ngah.

Zahid hadir di mahkamah sekitar jam 8.45 pagi, diiringi Timbalan Presidennya Mohamad Hasan dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Shamsul Anuar Nasarah.

Che Ngah, 63, berkata dia merupakan anggota Umno sejak usia 17 tahun, hadir bersama suaminya yang juga penyokong tegar Umno.

“Zahid ni tak sombong dengan orang ramai… kita hormat dengan dia.. Begitu juga dengan bossku (Najib Razak),” katanya ketika ditanya mengenai personaliti Zahid sebagai presiden Umno.

Ramlah Ibrahim

Ketua Wanita Umno cawangan Seberang Takir Ramlah Ibrahim berkata selain menyatakan sokongan, dia juga berhasrat untuk memberikan penjelasan kepada orang kampung yang mempunyai tafsiran yang salah terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Kami hargai jasa beliau. Jadi kami berkorban walaupun datang pakai duit sendiri.

“Saya dah 40 tahun jadi anggota Umno, sejak di bangku sekolah dan berkecimpung sehingga hari ni. Saya tak pernah rasa curiga kepada Ahmad Zahid.

“Balik nanti saya akan cerita kepada cawangan-cawangan dan orang kampung yang salah anggap dan datang supaya dapat beritahu apa yang tak betul,” katanya.

Mustaffa Ismail

Begitu juga dengan Mustaffa Ismail, 53, yang merupakan ahli jawatankuasa Umno Kuala Nerus yang terkilan dengan kecewa dengan pertuduhan yang dikenakan oleh mahkamah terhadap Zahid.

Dia juga menyatakan rasa bimbang sekiranya nasib Ahmad Zahid akan sama seperti Najib yang kini dihukum penjara atas kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

“Kami sanggup tidur dalam bas dan keluarkan kan duit sendiri, kongsi-kongsi sewa bas untuk ke sini,” katanya.

Menurut Mustaffa, dia sanggup hadir ke mahkamah pagi ini kerana menganggap Zahid merupakan insan yang teraniaya.

“Hasrat Datuk Seri Zahid hanyalah untuk tolong rakyat untuk beri bantuan semua,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyokong yang hanya ingin dikenali sebagai Cikgu Din, 69, berkata dia hadir pagi ini kerana merasakan Umno sudah sebati dengan jiwanya.

“Dia seorang yang tegas kami perlukan orang yang tegas dalam parti,” katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada mereka akan melakukan protes jika keputusan tidak berpihak kepada Zahid, Cikgu Din berkata perkara tersebut tak akan berlaku tetapi akan terus menunjukkan sokongan solidariti seperti selalu.

Lihat Komen
ADS