Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno: PM akan persembah tarikh bubar parlimen pada Agong
Diterbitkan:  Sep 30, 2022 3:07 PM
Dikemaskini: 3:48 PM

Umno telah membuat keputusan agar parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini, kata setiausaha agungnya, Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diadakan di ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur malam ini.

Justeru katanya, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten Umno sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Sehubungan itu, katanya, semua jentera parti di setiap peringkat diarahkan memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran parlimen sehinggalah tarikh PRU15.

“Umno percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya.

‘Dedah laporan siasatan buku Thomas’

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata MT Umno menyambut baik keputusan kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan segera diambil bagi menyiasat dakwaan salah laku membabitkan bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

"Mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk segera didedahkan kepada umum.

"Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009," katanya.

Disember tahun lalu, kerajaan menubuhkan pasukan petugas itu untuk menyiasat buku berkenaan yang antara lain menyentuh mengenai isu pelantikan hakim, campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman dan pendakwaan terpilih.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut terhadap kandungan buku berkenaan.

Lihat Komen
ADS