Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kematian' Utusan: 300 bekas kakitangan berhimpun, tuntut pampasan
Diterbitkan:  Oct 1, 2022 2:29 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Kira-kira 300 bekas kakitangan Utusan Melayu (Utusan) berhimpun pada acara perjumpaan semula bagi memperingati 'kematian' syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini.

Perhimpunan di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur itu juga simbolik bagi menuntut pihak berkenaan membayar pampasan kepada bekas kakitangan yang telah mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan tersebut, Saifol Bakhtiar Hamik berkata tujuan mereka berkumpul bagi menyuarakan isu kebajikan bekas kakitangan akhbar itu kepada umum terutamanya, pemimpin Umno.

"Walaupun syarikat Utusan Melayu telah tiada, namun sejarah, semangat dan jasa institusi itu tetap mengalir dalam diri setiap bekas pekerjanya.

"Perhimpunan juga ingin memberi mesej kepada orang ramai dan pemimpin negara, terutama Umno yang merupakan bekas pemilik syarikat itu bahawa nasib dan kebajikan 1,500 bekas kakitangan Utusan yang diberhentikan dan yang mengambil VSS masih terabai selepas syarikat ditutup pada 9 Oktober 2019.

"Sehingga kini, seramai 13 orang telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran satu sen pun pampasan atau tunggakan baki VSS dengan 23 orang lagi bekas kakitangan dalam keadaan daif kerana mengidap pelbagai penyakit selepas syarikat ditutup," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 9 Okt 2019, Lembaga Pengarah Utusan Melayu Berhad (Utusan) membuat keputusan menutup operasi syarikat itu hari ini.

Melalui satu memo dalaman yang diedarkan kepada staf syarikat pada Rabu, pengerusi eksekutifnya Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation).

"Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan," katanya dalam memo itu.

Sementara itu, Saifol yang juga Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu berkata, perhimpunan tersebut juga bertujuan mendesak pihak pelikuidator UHY Malaysia (yang mengambil alih urusan pelikuidari aset Utusan) agar segera membuat bayaran wajib-statutori (mengikut Akta Syarikat dan Akta Pekerja) pampasan dan juga tunggakan VSS yang telah bergantung sejak tiga tahun lepas.

"Seperti yang kita dapat lihat, papan tanda logo Utusan Melayu telah diturunkan dari bangunan bekas ibu pejabat syarikat akhbar itu dan kilangnya di Bangi baru-baru ini.

"Ini menunjukkan sudah tentu bangunan-bangunan bernilai yang dianggar bernilai lebih RM150 juta itu telah terjual," dakwanya.

Malaysiakini sedang menghubungi Abd Aziz dan pihak UHY Malaysia bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai dakwaan penganjur himpunan ini.

Lihat Komen
ADS