Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mana dia Bersatu - tidak berkuasa lagikah, soal Mahathir
Diterbitkan:  Oct 4, 2022 12:02 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Bersatu tidak akan menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, kerana tidak mendapat sokongan daripada sekutunya, PAS dan Umno, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dia berkata, inilah nasib yang akan menimpa parti yang tikam “belakang kawan untuk masuk melalui pintu belakang”.

“Mana dia Bersatu. Tidak berkuasa lagikah?

“Dalam PRU15 pun Bersatu tidak akan menang. Sebab? Tidak dapat sokongan Umno dan PAS,” kata ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya hari ini.

Dengan pengkhianatan, merujuk kepada "Langkah Sheraton" pada Februari 2020, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya, Mahathir, berkata, pembelotan itu menjadi titik pencetus kepada ketidakstabilan politik negara.

Mahathir mendakwa Bersatu akan menerima padahnya kerana terlibat dalam "Langkah Sheraton", selepas presidennya Muhyiddin Yassin digulingkan sebagai perdana menteri, dan digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob dari Umno.

“Sekarang Umno yang ditolak oleh rakyat yang berkuasa. Sebagai kerajaan, Umno akan tentukan bila PRU15 akan diadakan,” katanya.

Mahathir seterusnya membidas Umno kerana mendesak pilihan raya awal walaupun amaran musim banjir. Katanya, Umno bukan mengutamakan hak rakyat tetapi hanya berminat untuk terus berkuasa.

“Ramai tak boleh undi. Ramai (akan) kehilangan rumah. Ramai (juga) yang akan cedera dan mati. Okaylah itu masalah mereka.

“Kerajaan akan tentukan penyokong Umno boleh undi. Bantuan wang dan makanan boleh diberi,” katanya.

Mahathir turut melahirkan kebimbangannya dengan jumlah kakitangan kerajaan yang semakin hari bertambah semakin ramai.

“Dahulu jumlah pekerja kerajaan tak sampai satu juta. Dalam jangka masa beberapa tahun sahaja pekerja kerajaan meningkat 1,700,000. Gaji pun naik berkali-kali. Akan naik lagi dalam belanjawan baru.1,700,000 pegawai kerajaan dan keluarga tentu sokong kerajaan.

“Jangan peduli tidak ada duit tinggal untuk pembangunan negara. Jangan peduli harga barang naik. Jangan peduli ramai hadapi tekanan kewangan.

“Mereka boleh hutang. Tidak dapat bayar hutang mereka akan bankrap. Itu masalah mereka,” katanya, sinis.

Dia juga melahirkan kembangan dengan jumlah hutang kerajaan yang semakin hari semakin meningkat.

Lihat Komen
ADS