Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amaran buat peguam Najib: Elakkan perbicaraan di media, kata Sri Ram

BICARA 1MDB: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram memberi amaran kepada peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah supaya tidak menjalankan perbicaraan di media berhubung kes rasuah 1MDB bekas perdana menteri itu.

Sri Ram berkata bahawa sidang media oleh Shafee semalam menyamai serangan terhadap pihak pendakwaan berhubung pertuduhan bahawa pihak pendakwa telah menindas keterangan dalam kes berkenaan.

“Dengan segala hormatnya, tertuduh mesti menjalankan perbicaraan di mahkamah dan bukan di luar di khalayak ramai.

"Kami diletakkan dalam kedudukan sukar yang kami tidak boleh menjawab secara terbuka," katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, sambil menambah bahawa jika pihak pembelaan terus melakukan perkara itu, maka pihak pendakwaan akan memohon untuk menghalang mereka.

“Semua surat yang dirujuk pembelaan sudah dikemukakan pada perbicaraan SRC International Sdn Bhd dan ia adalah surat sama yang ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi (ketika itu), Mohd Nazlan Mohd Ghazali, “ katanya.

Peguambela bersama Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed kemudiannya berkata bahawa Shafee akan menghadiri prosiding esok untuk memberi maklum balas kepada pihak pendakwaan.

Aizuddin berkata peguam bela utama itu tidak dapat menghadiri perbicaraan hari ini kerana tidak sihat.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata mahkamah akan menunggu sehingga esok untuk Shafee datang dan memberikan jawapannya dalam perkara itu.

Prosiding kemudian disambung dengan Aizuddin melakukan pemeriksaan balasnya terhadap saksi pendakwaan ke-38 R Uma Devi, yang adalah pengurus cawangan AmBank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Perbicaraan 1MDB dijadualkan bersambung esok dan Khamis ini.

Semalam semasa sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Shafee membuat dakwaan bahwa terdapat surat dari Arab Saudi yang kononnya menjanjikan derma kepada Najib antara 2011 dan 2012.

Dalam taklimat media yang sama, peguam itu juga mengumumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk membenarkan tertuduh selaku ahli Parlimen Pekan menghadiri sidang Dewan Rakyat, meskipun dilarang oleh Jabatan Penjara.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram hari ini memberi amaran kepada peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk tidak adakan perbicaraan di media berhubung kes rasuah RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad melibatkan bekas perdana menteri itu.

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa kenyataan media dibuat Muhammad Shafee semalam seperti satu serangan terhadap pendakwaan yang menuduh mereka menyembunyikan bukti dalam kes tersebut.

“Yang Arif, terdapat serangan secara langsung terhadap pihak pendakwaan bagi pihak tertuduh (Najib), beliau (Muhammad Shafee) berkata bahawa pihak pendakwaan gagal untuk mendedahkan transaksi itu.

"Sepatutnya, tertuduh menjalankan perbicaraannya di mahkamah dan bukannya pada masyarakat umum. Saya tidak boleh menjawab secara terbuka dan suatu yang tidak wajar untuk menjawab secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata pihak pendakwaan akan perlu memohon untuk menghalang pihak pembelaan bercakap dengan media, jika mereka meneruskan perbuatan ini.

Semalam, Muhammad Shafee menyatakan bahawa aliran masuk duit ke dalam akaun Najib pada Februari dan Jun 2011 berjumlah kira-kira RM60.6 juta (kira-kira AS$20 juta) adalah daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi, Putera Faisal Turki Al Saud.

Pihak pembelaan mendakwa bahawa dana itu merupakan sebahagian daripada hadiah kepada Najib daripada bekas Gabenor Wilayah Madinah, Saud Abdulaziz Majid Al Saud.

Peguam itu berkata pihak pendakwaan hanya menyatakan mengenai dua transaksi pindahan, tetapi tidak menyatakan lima lagi pindahan ke dalam akaun Najib antara Ogos 2011 dan Ogos 2012, yang didakwa daripada Putera Turki dan Kementerian Kewangan Riyad berjumlah kira-kira AS$180 juta.

Muhammad Shafee juga telah menyatakan surat daripada bekas gabenor yang dialamatkan kepada Najib, yang menyatakan jumlah derma yang dibuat kepada bekas perdana menteri itu.

Pada perbicaraan hari ini Sri Ram menjelaskan bahawa surat yang sama telah dikemukakan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dan hakim perbicaraan, bersama hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, telah menolak bukti itu.

“Jika mereka mahu bergantung kepada surat yang sama di dalam domain awam, anda tidak boleh katakan kami (pihak pendakwaan) menyembunyikan (maklumat itu), ia tidak relevan,” katanya, dan menambah bahawa kesnya adalah untuk membuktikan bahawa duit 1MDB masuk ke dalam akaun tertuduh.

Pada ketika ini, seorang lagi peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed mencelah dengan mengatakan bahawa kes itu perkara yang berbeza dan tiada kena mengena dengan perbicaran masa ini.

“Yang Arif, Tan Sri Muhammad Shafee akan menjawab berkaitan perkara ini di mahkamah esok pagi,” katanya dan menambah Muhammad Shaefee tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau tidak sihat.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Sequerah berkata mahkamah akan menunggu jawapan Muhammad Shafee mengenai perkara itu esok.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung petang ini.

Lihat Komen
ADS