Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee mohon maaf tapi tegaskan kenyataan medianya tepat

BICARA 1MDB l Peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah memohon maaf berhubung sidang medianya mengenai perbicaraan rasuah membabitkan penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1MDB oleh bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, peguam itu menegaskan kenyataannya itu adalah tepat dan tidak ditokoh-tambah.

Berhujah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, Shafee mengambil maklum terhadap amaran pihak pendakwaan berhubung taklimat sidang mediannya yang dilakukannya dua hari sebelumnya.

Semalam di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram emberi amaran kepada Shafee berhubung kenyataan media yang didakwa menyerang pihak pendakwaan.

Semasa sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin lalu, Shafee membuat tuntutan bahawa terdapat surat dari Arab Saudi yang kononnya menjanjikan derma kepada Najib antara 2011 dan 2012.

Muhammad Shafee Abdullah

Peguam itu kemudian mengedarkan kenyataan media bertulis yang mengandungi pertuduhan bahawa pihak pendakwaan gagal mendedahkan atau menyampaikan kepada pihak pembelaan butiran transaksi tersebut.

Dalam taklimat media yang sama, Shafee juga mengumumkan mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk membenarkan tertuduh sebagai ahli Parlimen Pekan untuk menghadiri sidang Parlimen, walaupun Jabtan Penjara tidak membenarkannya.

Shafee hari ini memberitahu Sequerah bahawa sebahagian kenyataan media berhubung dakwaan dokumentasi mengenai sumbangan Arab itu dibuat susulan soalan wartawan yang bertanya kepadanya mengenai transaksi tersebut.

“Yang Arif, saya memohon maaf kepada mahkamah sekiranya terdapat salah tafsir terhadap kenyataan media tersebut. Kenyataan itu tepat dan tidak keterlaluan.

"Kenyataan media itu hanya mengatakan, pihak pendakwaan tidak memberikan kami dokumen dalam kes ini, tetapi kami telah mendapat dokumen itu.

“Itulah cara kami menyatakan pihak pendakwaan gagal untuk mendedahkan," kata peguam itu.

Shafee berkata dia hanya cuba memaklumkan kepada media bahawa pasukan pembelaan berjaya mencungkil bukti untuk menunjukkan bahawa sumbangan dari Arab Saudi ke akaun Najib, serta kemungkinan tindakan undang-undang untuk membenarkan Najib - yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun - untuk menghadiri sidang Parlimen.

Katanya, dia hanya menjawab pertanyaan pemberita mengenai wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

“Wartawan bertanya, adakah benar kedua-dua transaksi ini datang dari Arab Saudi,” katanya.

Gopal Sri Ram

Pada peringkat ini, Sri Ram berkata Shafee boleh membangkitkan perkara itu di mahkamah daripada mengadakan sidang media mengenainya.

"Dia (Shafee) boleh membangkitkan perkara ini di hadapan Yang Arif. Adakah dia (Shafee) mengharapkan kami berjumpa media dan mengatakan Tan Sri Shafee salah?

"Saya boleh menerima jika dia membuat aduan di hadapan Yang Arif.  Mana-mana pengadu tentang cara kami (pendakwaan) menjalankan kes boleh membawanya ke hadapan Yang Arif.

“Tolong jangan berbincang dengan media, berhubunglah dengan kami," kata Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Tambahnya, mahkamah dan bukannya media adalah platform paling sesuai untuk mendengar isu berkaitan bukti dalam kes 1MDB.

Shafee kemudian memaklumkan mahkamah bahawa walaupun pasukan peguam Najib akan terus berhubungan dengan media, mereka akan mengelak daripada mengulas secara terbuka tentang bagaimana pihak pendakwaan menjalankan kes itu.

Pada ketika ini, Sequerah kemudian berkata "ini akan menjadi penghujung perkara ini setakat berkenaan kenyataan media".

Perbicaraan rasuah itu kemudian bersambung dengan saksi pendakwaan ke-39 Cheah Tek Kuang, bekas pengarah urusan AmBank, mengambil tempat untuk disoal balas oleh Shafee.

Najib Razak

Semalam, Sri Ram mengingatkan Shafee supaya tidak menjalankan perbicaraan kes itu di media.

Sri Ram berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan media oleh Shafee yang pada Isnin lalu menyatakan bahawa aliran masuk dana ke dalam akaun Najib pada Februari dan Jun 2011 berjumlah kira-kira RM60.6 juta (kira-kira US$20 juta) adalah daripada kerabat diraja Arab Saudi, Putera Faisal Turki Al Saud.

Pihak pembelaan mendakwa dana itu adalah sebahagian daripada hadiah kepada Najib daripada bekas Gabenor Wilayah Madinah, Saud Abdulaziz Majid Al Saud.

Shafee berkata pihak pendakwaan hanya menyatakan mengenai dua transaksi pindahan tetapi tidak menyatakan lima lagi pindahan ke dalam akaun Najib antara Ogos 2011 dan Ogos 2012, yang didakwa daripada Putera Turki dan Kementerian Kewangan Riyad berjumlah kira-kira US$180 juta.

Peguam itu juga telah menyatakan surat daripada bekas gabenor yang dialamatkan kepada Najib, yang menyatakan jumlah derma yang dibuat kepada bekas perdana menteri itu.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung petang ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS