mk-logo
Berita
Dewan Rakyat lulus RUU Kualiti Alam Sekitar, denda maksimum RM10 juta
Diterbitkan:  Oct 5, 2022 10:58 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 antaranya untuk meningkatkan penalti tidak melebihi RM10 juta bagi memberi amaran dan kesedaran supaya tidak ada pihak sewenang-wenangnya mencemarkan alam sekitar.

Menerusi rang undang-undang itu, denda maksimum RM10 juta dikenakan bagi kesalahan seperti pencemaran air dan pelupusan haram buangan terjadual.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata penetapan jumlah penalti yang tinggi itu kerana kos keseluruhan terpaksa ditanggung akibat jenayah tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah penalti yang ditetapkan sebelum ini.

"Sebagai contoh, pencemaran Sungai Kim Kim di Johor RM6 juta lebih (kos). Di Selangor, dengan penutupan loji, kos rawatan sungai dan baik pulih, itu belum termasuk kos penghantaran air melalui tanker sepanjang loji ditutup dan pengguna dapat air tanpa caj pada waktu itu, maknanya kos jauh lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu yang kemudian diluluskan secara sebulat suara.

Rang undang-undang itu juga melibatkan pindaan terhadap 28 seksyen Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) antara lain merangkumi pemantapan hukuman dengan julat kadar denda minimum tidak kurang RM5,000 serta penjara mandatori tidak lebih lima tahun.

Kadar kompaun turut ditingkatkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pindaan itu bertujuan memberi kebebasan kepada pekerja untuk menyertai atau menubuhkan kesatuan mengikut pilihan sendiri.

“Di samping itu, ia juga akan mewujudkan persaingan yang sihat di antara kesatuan sekerja dengan harapan kesatuan akan berusaha untuk berada pada kedudukan terbaik dari segi pentadbiran, penganjuran aktiviti sosial, pendidikan atau kebajikan,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.

Persidangan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS