Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya yakin selepas PRU15 adalah kerajaan PN - Azmin

PARLIMEN l Azmin Ali (Bersatu-Gombak) hari ini berkata bahawa dia yakin bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menjadi kerajaan seterusnya selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keputusan kerajaan untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif, bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Lim ingin tahu bagaimana CPTPP boleh dilaksanakan jika Dewan Rakyat dibubarkan dalam tempoh terdekat ini, memandangkan ia perlu mendapat mandat oleh kerajaan baharu.

“Beliau bimbang bagaimana ini boleh dilaksanakan oleh kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya yang akan datang.

“Saya yakin kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya ini adalah kerajaan Perikatan Nasional. Jadi, kita akan teruskan usaha-usaha ini,” katanya sambil disambut gelak ketawa di seluruh Dewan Rakyat.

Susulan itu, Azmin menggesa agar parlimen tidak dibubarkan sekarang, kerana lebih banyak masa diperlukan untuk pemulihan ekonomi.

“Walaupun indikator ekonomi semakin baik, kita perlu sedikit masa supaya proses pemulihan ekonomi ini benar-benar memberikan kesan positif kepada rakyat.

“Tetapi sekalipun pilihan raya berlaku dan parlimen dibubarkan, perjanjian ini (CPTPP) akan memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

“Mana-mana kerajaan yang mengambil alih, mereka bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat,” katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan semalam bahawa kabinet telah bersetuju untuk meratifikasi CPTPP.

CPTPP ialah perjanjian perdagangan bebas yang menghubungkan Kanada, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian itu menyaksikan 95 peratus tarif antara 11 ahlinya akan dihapuskan.

Azmin menambah, Malaysia telah memenuhi kewajipannya dalam perjanjian itu dengan meminda 11 undang-undang.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Azmin sebagai berkata, CPTPP bagi Malaysia akan mula berkuat kuasa pada 29 November ini.

Malaysia, katanya, telah meratifikasi CPTPP berikutan penyerahan surat cara ratifikasi oleh kerajaan untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP, pada 30 Sept 2022.

Menurut Azmin, ratifikasi CPTPP bagi Malaysia dianggap selesai dan Malaysia merupakan negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian ini.

“Hasil Kajian Analisis Kos-Faedah (CBA) menunjukkan bahawa manfaat yang bakal dinikmati oleh Malaysia menerusi penguatkuasaan CPTPP jelas mengatasi sebarang kos yang mungkin timbul.

“Segala pindaan undang-undang berkaitan perjanjian CPTPP telah selesai,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) mengenai status penyertaan Malaysia untuk CPTPP dan kemajuan untuk perjanjian perdagangan bebas lain.

Azmin berkata beberapa pengecualian dan fleksibiliti berkaitan hak Bumiputera dan pemain tempatan di bawah perjanjian CPTPP juga telah diperoleh.

“Kesemua negara anggota CPTPP tidak mempunyai sebarang tempoh peralihan bagi nilai ambang perolehan mereka kecuali Malaysia dan ini merupakan kejayaan yang kita capai.

“Sebagai contoh, tempoh peralihan bagi Malaysia untuk sektor perkhidmatan adalah selama sembilan tahun, sektor barangan selama tujuh tahun dan sektor pembinaan selama 20 tahun,” katanya.

Oleh kerana Malaysia telah mendapat tempoh peralihan yang panjang, beliau berkata kementerian telah berbincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk melihat modul tertentu bagi mempersiapkan pemain tempatan, khususnya Bumiputera untuk bersedia menyertai perjanjian CPTPP.

Selain itu, katanya komitmen Malaysia berkaitan perolehan kerajaan ini adalah terhad kepada peringkat persekutuan sahaja dan tidak melibatkan peringkat negeri.

Lihat Komen
ADS