Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan Muhyiddin, 12 menteri PN undang perpecahan - PM
Diterbitkan:  Oct 11, 2022 6:54 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin bersama 12 menteri kabinet yang bertentangan dengan semangat solidariti dan mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran sehingga kerajaan terpaksa memulangkan semula mandat kepada rakyat, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi satu kenyataan media, katanya, tindakan Muhyiddin mengisytiharkan BN sebagai musuh utama Perikatan Nasional turut mengundang bibit perpecahan.

Selain itu tindakan 12 menteri dari Bersatu dan PAS yang mengutus warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya tidak memperkenankan pembubaran Parlimen sehinggalah musim banjir berakhir juga tidak wajar kerana ia mengikis semangat solidariti.

“Seperti yang saya jelaskan dalam perutusank khas semalam, pembubaran parlimen ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

“Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Istana Negara

“Tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi perdana menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Bahkan, menurut perdana menteri, sejak akhir-akhir ini, ada di kalangan jemaah menteri yang membuat kritikan terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.

“Malah tindakan Muhyiddin mengisytiharkan musuh utama PN adalah BN telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.

“Muhyiddin juga selaku pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembubaran parlimen ke-14, memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ini dilakukan di sebalik nasihat Jabatan Meteorologi agar PRU15 tidak diadakan segera susulan risiko banjir. Penggal parlimen pula hanya akan tamat Julai tahun depan.

“Kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.

“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan petang ini.

Lihat Komen
ADS