Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN l Ada harapan Umno/BN menang jika parti lain tak berpakat

ULASAN l Hakikatnya Umno/BN akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini kalau parti-parti yang menentangnya berpakat untuk tidak pecahkan undi.

Tetapi kalau parti-parti yang menentang Umno/BN bercakaran sesama sendiri kerana ego, kepentingan peribadi, mabuk kuasa dan dendam kesumat ketua-ketua mereka, Umno/BN akan menang walaupun mendapat undi yang sedikit. Hatta dengan peratusan undi yang lebih kecil daripada PRU14 pun, Umno/BN masih ada harapan menang!

Tetapi kalau ketua-ketua parti yang menentang Umno/BN mengurangkan sedikit keakuan mereka demi negara dan rakyat jelata, Umno/BN akan hanyut. Sudah tiga PRU, bermula dengan PRU 2008, aliran sokongan terhadap Umno/BN menurun secara berterusan sehinggalah kalah dalam PRU 2018.

Anwar Ibrahim, Presiden PKR

Ironinya, kejatuhan Umno/BN bermula dengan kemenangan luar biasa dalam PRU 2004 di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi apabila memperoleh 63.9 peratus undi berbanding Barisan Alternatif (PAS dan PKR) 24.1 peratus dan DAP 9.9 peratus. Pentadbiran Abdullah yang di"hijacked" oleh "budak-budak tingkat empat" gagal memanfaatkan mandat besar itu.

Akibatnya dalam PRU 2008, sokongan terhadap Umno/BN jatuh merudum kepada 51.39 peratus dan sekali gus hilang majoriti dua pertiga.

Dalam PRU 2013, iaitu yang pertama bagi Najib Razak sebagai perdana menteri, sokongan kepada BN jatuh lagi. Undi Umno/BN merosot kepada 47.38 peratus dan undi Pakatan Rakyat naik kepada 50.87 peratus. Tapi kerana undi pembangkang pecah dan Umno/BN mendapat manfaat daripada persempadanan "gerrymandering", Umno/BN menang 133 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Pembangkang dapat 89 kerusi.

Dalam PRU 2018, BN kalah terus. Kemarahan pengundi terhadap rasuah besar-besaran kerajaan Umno/BN di bawah pimpinan Najib dan kesepakatan pembangkang menghanyutkan Umno/BN.

Pakatan Harapan yang menggabungkan semula Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim memperoleh 45.68 peratus undi bagi memenangi 113 kerusi. Undi Umno/BN jatuh merudum kepada 33.8 peratus yang diterjemahkan kepada 79 kerusi. PAS mendapat 16.9 peratus undi dan 18 kerusi.

Kesimpulannya, kalau pembangkang terus berpecah-belah kerana ego dan dendam, Umno/BN akan kembali berkuasa. Dan seperti yang dihajatkan Presiden Unmo, Ahmad Zahid Hamidi mudahlah membebaskan Najib dari penjara dan memberhentikan perbicaraan kluster mahkamah. Itulah pun tujuan Umno mendesak dan menekan agar PRU15 diadakan secepat mungkin.

Majoriti rakyat jelata menolak rasuah. Mereka tahu Umno/BN sudah dicemari rasuah. Tetapi kalau ketua-ketua pembangkang terus bercakaran antara satu sama lain, undi rakyat jelata antirasuah akan pecah, Umno/BN menang dan orang ramai yang tidak sebelu dengan mereka akan dihukum.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media perdana menteri.

Artikel di atas asalnya disiarkan di media sosial. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS