Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya tidak salahkan 12 menteri PN, mereka ikut arahan parti - PM
Diterbitkan:  Oct 13, 2022 12:27 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Dalam satu lagi perkembangan dramatik, prdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini membidas 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tidak memperkenankan pembubaran Parlimen, hari ini berkata bahawa dia tidak menyalahkan mereka.

Bercakap kepada pemberita, Ismail Sabri berkata dia difahamkan menteri-menteri itu hanya bertindak mengikut arahan parti, selain arahan daripada presiden Bersatu dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

“Mereka (PN) juga dalam gabungan kerajaan. Ada sembilan tak silap saya menteri dari parti dia (Bersatu).

“Tiba-tiba dia ‘attack’ (serang) kerajaan, itu merupakan perkara yang amat tidak bertanggungjawab kalau dia katakan saya tidak bertanggunjawab.

“Hamzah (Zainuddin) semalam, berkata ia juga adalah hasil keputusan parti.

“Ini bermakna, dia bergantung pada keputusan parti, ada pengaruh daripada presiden parti, dan menteri kabinet daripada Bersatu tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh terbabit.

"Maknanya, dia menerima arahan daripada presiden parti. Parti arahkan tulis surat. Walaupun tidak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti. Ini diakui oleh Hamzah, dan (saya) tidak salahkan mereka mengikut arahan parti, sebab itu adalah arahan parti," katanya.

Perdana menteri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) di Shah Alam hari ini. 

Menurut Ismail Sabri, sukar baginya untuk memimpin kerajaan sekiranya tiada kesepakatan atau solidariti sesama menteri kabinet.

“Bagaimana saya nak menguruskan kerajaan dengan baik kalau saya tidak yakin dengan kesepakatan atau solidariti sesama menteri kabinet?” soalnya.

Pada 11 Oktober lalu, Ismail Sabri berkata, tindakan Muhyiddin bersama 12 menteri kabinet itu bertentangan dengan semangat solidariti dan mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran sehingga kerajaan terpaksa membubarkan Dewan Rakyat.

Dia berkata tindakan mereka juga jelas membelakangkan institusi perdana menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Mengulas dakwaan pembangkang bahawa pembubaran awal Parlimen adalah untuk 'menyelamatkan "kluster mahkamah" Umno dan BN daripada berdepan tindakan undang-udang, Ismail Sabri berkata mereka sebaliknya perlu berterima kasih kepadanya kerana mengadakan pilihan raya awal.

“Apa yang saya lakukan sekarang ialah mempercepatkan pilihan raya dan membiarkan rakyat memilih kerajaan yang mereka benar-benar mahukan.

“Jika mereka (pembangkang) mempersoalkan keabsahan kerajaan sedia ada, mereka sepatutnya gembira sekarang kerana saya telah mengumumkan pembubaran parlimen,” katanya.

Dia turut menafikan pembubaran parlimen yang dibuat kerajaan dilakukan atas desakan dari parti sendiri, Umno.

Menurut naib presiden parti itu, walaupun terdapat desakan daripada Umno berhubung pembubaran parlimen selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun kehendak parti itu tidak diikuti perdana menteri.

“Kalau ikutkan pandangan daripada parti dah lama, dah lama saya bubar Parlimen. Tengok masa PRN Johor yang kata bubar-bubar, setiap kali perhimpunan pun sebut bubar-bubar.

“Umno dah lama cakap soal pembubaran, cuma masa yang tak sesuai dan saya pun masih belum merancang lagi dari segi tarikh yang tepat.

“Tetapi apabila ada isu yang berkaitan dan saya nampak tak boleh nak ‘go on’ (teruskan) lagi, jadi saya bubarlah,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS