Barisan Alternatif akan memberikan kerjasama kepada polis berhubung perhimpunan 'Mengembalikan Hak Rakyat' yang dijangka disertai berpuluh-puluh ribu orang di Jalan Kebun, Shah Alam pada Ahad ini.

Pengerusi jawatankuasa penganjur Saari Sungib berkata, kebiasaannya jawatankuasa parti akan memaklumkan kepada pihak berkuasa berkenaan apabila mengadakan ceramah di markas Parti Keadilan Nasional itu.

"Kita akan memberitahu polis. Tetapi (kami) tidak memohon permit kerana perhimpunan ini dijalankan di tanah persendirian," jelas Saari kepada malaysiakini , apabila ditanya berhubung perhimpunan itu di kawasan seluas tiga ekar itu.

Beliau memberi jaminan bahawa perhimpunan itu akan dikendalikan dalam "suasana yang tertib dan tenang" serta berharap orang ramai akan menyertai perhimpunan tersebut.

Empat pemimpin utama pembangkang, Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Nor, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Ismail, Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali dijadual menyampaikan ceramah dalam program itu yang bermula jam 2:30 petang.

Satu kempen besar-besaran yang dikenali 'Nyah Mahathir' akan dilancarkan pada hari itu.

Apabila menghubungi tengahari ini, malaysiakini gagal mendapatkan penjelasan lanjut daripada polis.

Bagaimanapun menurut akhbar Berita Harian hari ini, polis akan bertindak tegas terhadap sesiapa yang menghadiri "perhimpunan haram" itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Johar Che Din dilaporkan berkata polis tidak mengeluarkan permit bagi perhimpunan itu dan akan bertindak kepada mereka yang hadir mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1967.

Malaysiakini akan mengadakan liputan langsung program ini