Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: BN ekori rapat PH dari segi kecenderungan pengundi
Diterbitkan:  Nov 4, 2022 6:07 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

PRU15 | BN mengekori rapat pesaingnya Pakatan Harapan (PH) iaitu di tempat kedua daripada segi kecenderungan pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15, berdasarkan tinjauan dilakukan Merdeka Center .

Tinjauan yang dijalankan dalam kalangan 1,209 pengundi berusia 18 tahun mendapati 26 peratus responden cenderung memilih PH berbanding 24 peratus memilih BN, diikuti Perikatan Nasional (PN) sebanyak 13 peratus.

Bagaimanapun, mereka yang mengatakan tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti siapa yang akan mereka undi merupakan kumpulan terbesar dengan 31 peratus.

Empat peratus enggan menjawab soalan tinjauan manakala dua peratus berkata mereka akan mengundi Gerakan Tanah Air (GTA) atau parti lain. ( Rujuk carta di bawah )

Tinjauan tersebut dilakukan selepas parlimen dibubarkan antara 19 dan 28 Okt.

Bagi kecenderungan pengundi mengikut kaum, majoriti pengundi Melayu (32 peratus) memilih BN, diikuti 29 peratus mengatakan mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti. Kira-kira 20 peratus memilih PN, manakala PH memperoleh hanya kira-kira 13 peratus sokongan.

Oleh itu, masih ada peluang 29 peratus undi Melayu yang belum membuat keputusan, kata tinjauan itu.

Bagi responden Cina pula, 47 peratus menyatakan mereka lebih cenderung kepada PH, berbanding 5 peratus memilih BN, dan 1 peratus memilih PN. Sebanyak 23 peratus berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti.

Sementara itu, 51 peratus kaum India yang dikaji selidik lebih cenderung kepada PH, berbanding BN (32 peratus), dan PN (1 peratus). Kira-kira 8 peratus berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti.

Jumlah keluar mengundi

Bagi peratusan keluar mengundi, mereka yang berumur 50 tahun ke atas mencatatkan kecenderungan paling tinggi untuk keluar mengundi dalam pilihan raya kali ini.

Dalam tinjauan sebelum ini pada 30 Julai dan 30 Sept, 78 peratus dan 82 peratus pengundi dalam kumpulan umur berkenaan berkata mereka akan keluar mengundi, manakala selepas parlimen dibubar, jumlahnya menurun sedikit kepada 80 peratus.

Bagi pengundi berusia antara 31 dan 50 tahun, mereka masing-masing mencatatkan 79 peratus dan 78 peratus dalam dua tinjauan sebelum ini, tetapi minat itu merosot kepada 74 peratus selepas parlimen dibubarkan.

Kemerosotan terbesar dalam minat untuk mengundi berlaku dalam kalangan kumpulan berumur bawah 30 tahun. Walaupun 76 peratus dan 74 responden berkata mereka akan mengundi dalam tinjauan sebelumnya, jumlah itu menurun kepada 68 peratus dalam kaji selidik terkini.

Kecenderungan mengundi di kalangan orang Cina adalah yang paling rendah dalam semua kumpulan umur, dan tinggi (75-86 peratus) di kalangan orang Melayu dan India. (Rujuk carta di bawah )

Mengenai jangkaan keputusan PRU15 pula, Merdeka Center berkata ia sukar untuk diramalkan, memandangkan kehadiran tiga gabungan penting dengan asas sokongan yang besar, serta ketidaktentuan mengenai kemungkinan kadar keluar mengundi.

“Pada ketika ini, dengan tahap sokongan pengundi Melayu yang lebih rendah daripada jangkaan kepada BN, adalah mungkin untuk membayangkan bahawa tidak ada satu gabungan yang akan mencapai pluraliti yang cukup besar untuk membentuk kerajaan dengan hanya satu parti atau gabungan lain.

“Sebaliknya, terdapat kemungkinan yang semakin meningkat bahawa sekurang-kurangnya tiga atau lebih parti/gabungan diperlukan untuk bekerjasama membentuk kerajaan dengan majoriti mudah,” kata tinjauan itu.

Lihat Komen
ADS