Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin dakwa PM enggan laksana moratorium untuk PMKS

PRU15 l Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata cadangannya supaya kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) ditolak.

Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) ketika itu menjawab soalan berhubung langkah PN mengatasi kesan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun depan, sekiranya berjaya mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam jawapannya Muhyiddin menyentuh salah satu manifesto PN berhubung pemberian moratorium pinjaman PMKS yang lebih berkesan untuk membantu peniaga kecil.

“Majlis Pemulihan Negara dah cadangkan dulu, tapi kerajaan bawah Ismail Sabri tak mahu lakukan.

“Ia tak membebankan pada kerajaan. (Malah) kerajaan tak keluar duit RM1 pun.

“Kalau nak, bank laksanakan moratorium, mereka kena buat, bukan pakai wang kerajaan. Ini bukan wang bank… dalam tempoh beberapa bulan, kita buka balik ekonomi, dan bank isytiharkan keuntungan. Bank makes a lot of money, tak jejaskan prestasi kewangan bank,” katanya.

Terdahulu, dalam perasmian manifesto PN di Glenmarie Hotel and Golf Resort di Shah Alam, Selangor malam tadi, gabungan itu mengumumkan akan merancakkan proses pemulihan ekonomi negara, dengan membangunkan PMKS yang berdaya saing sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Antaranya meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan atau moratorium secara bersasar bagi membantu PMKS yang terjejas.

Selain itu, insentif khas Skim Prihatin PMKS akan disediakan untuk menggalakkan pendigitalan pengeluaran produk dan perkhidmatan serta latihan kemahiran.

Untuk rekod, pemberian moratorium diberikan sewaktu pentadbiran Muhyiddin pada Jun 2021, di mana dia mengumumkan pemberian moratorium secara automatik selama enam bulan kepada semua peminjam sama ada daripada golongan B40, M40, T20 dan usahawan mikro.

Pada masa sama, dia turut mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar bagi meringankan beban mereka yang terjejas dengan keadaan ekonomi semasa.

Katanya, meskipun ia tidak terdapat dalam manifesto PN, tetapi gabungan itu sedia meneliti semula.

“Tapi kalau bersasar, kena tengok berapa banyak simpanan yang dia ada untuk mohon.

“Kalau dah habis (simpanan KWSP) nak bersasar apa. Tapi ini (pengeluaran bersasar) perkara yang penting,” katanya.

Lihat Komen
ADS