Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Lelaki buruan polis, Jho Low, memang mahu surat didakwa ditulis putera mahkota Arab Saudi kepada Najib Razak dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai, kata seorang saksi hari ini.

Bekas pegawai bank, Joanna Yu, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu, dia dimaklumkan mengenai hal tersebut melalui mesej Blackberry Messenger (BBM) pada 23 Jun 2014.

Memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan kes rasuah Najib bernilai RM2.28 bilion, Yu ditunjukkan transkrip yang didakwa perbualan mereka itu.

Melalui perbualan tersebut Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - memberitatu Yu bahawa dia diarahkan Najib supaya tidak mendedahkan surat menyatakan janji putera mahkota terbabit mahu memberikan derma.

Apabila timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram bertanya apa yang dia faham daripada mesej itu, Yu menjawab surat berkenaan adalah untuk mengesahkan bahawa dana yang masuk ke akaun Najib adalah hasil derma yang didakwa diberikan bangsawan Arab terbabit.

Kata Yu, mesej yang diterimanya itu adalah untuk memastikan surat-surat yang berkaitan dianggap sulit.

Dia menjelaskan apa yang dia faham daripada perbualan itu juga ialah surat-surat itu juga hanya boleh dikemukakan kepada pengarah urusan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang, untuk ditunjukkan kepada gabenor Bank Negara ketika itu Zeti Akhtar Aziz dan diambil semula selepas itu.

Apabila Gopal bertanya sama ada mesej BBM itu disampaikan kepada Cheah, Yu mengakuinya.

“Ya. Saya katakan jika ada apa-apa, gabenor (Zeti) boleh merujuk semula kepada pemegang akaun (Najib),” kata bekas pengurus perhubungan AmBank itu.

Pasukan pembelaan Najib sebelum ini telah menunjukkan kepada mahkamah salinan surat-surat Arab yang didakwa menjanjikan derma kerana tertuduh untuk "kerja baik untuk mempromosikan Islam di seluruh dunia".

Menjawab soalan Sri Ram, Yu menambah dia tidak pernah menerima sebarang wang daripada Najib, Jho Low atau bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil yang memiliki kuasa mengendalikan akaun tertuduh.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung petang ini.

Gopal Sri Ram

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa, dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, dia yang juga bekas menteri kewangan itu dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan di 1MDB telah dilakukan oleh Low dan beberapa yang lain dengan restu Najib.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS