Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua tahun lepas PRK Tg Piai, Jeck Seng kekal popular

Dua tahun lalu, tepat tarikh hari ini, tumpuan terarah di Tanjung Piai yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berusaha mengekalkan kerusi kawasan itu dalam pilihan raya kecil (PRK).

PH akhirnya kalah dengan margin yang besar pada 13 Nov 2019, mencetuskan rantaian peristiwa yang memuncak dalam Langkah Sheraton yang hadir empat bulan kemudian.

Kini kerusi parlimen yang menjangkau ke hujung paling selatan tanah besar Asia itu akan menyaksikan pengundian sekali lagi, dan sebarang peluang untuk menggugat kelebihan penyandang BN Wee Jeck Seng terletak di tangan pengundi yang tinggal di luar kawasan.

Dengan jumlah 70,678 pengundi, data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan hampir separuh atau 33,284 berumur di bawah 40 tahun, di mana 4,131 (5.8 peratus) adalah belia berumur antara 18 dan 20 tahun yang akan membuang undi buat kali pertama.

Calon lain yang akan bertanding ialah peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Muda dan calon Perikatan Nasional (PN) Najwah Alimah Ab Alim.

Sebagai muka baru di kawasan itu, Lim meluangkan banyak masa pada minggu pertama berkempen untuk memperkenalkan dirinya di media sosial dan melalui kempen ramah mesra yang lebih konvensional.

Sementara itu, laman Facebook rasmi Najwah, mempromosikan video kerja amalnya di sekitar Pekan Nenas dan bagaimana dia akan meneruskan usaha itu jika dipilih sebagai ahli parlimen.

Wee pula berkata dia akan meneruskan kerjanya dalam kalangan masyarakat tempatan yang telah dimulakannya lama sebelum pilihan raya - merentasi perkampungan Melayu yang terletak di dalam ladang kelapa sawit, Projek Perumahan Rakyat (PPR) campuran dan penempatan nelayan majoriti Cina di dua kerusi Dewan Undangn Negeri (DUN) di Tanjung Piai.

"Selama ini kita bekerja keras. Pada hari biasa, bukan hanya pada pilihan raya. Ini sebagai tanggungjawab anggota parlimen.

"Banyak program kita lakukan untuk bantu rakyat. Kita tak boleh buat spekulasi (tentang peluang). Yang penting kita teruskan berusaha mendekati pengundi, itu kaedah kita," katanya.

Wee yang juga ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu ditemui selepas mengadakan program beramah mesra di Kampung Nelayan Air Masin dan Kampung Kukup Laut pada hari kelima kempen.

Penyandang parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng

Hampir dua jam Wee dan jenteranya menyantuni penduduk di dua kawasan yang dikenali sebagai pengeluar makanan laut tempatan dan tarikan pelancong, di mana dia paling diingati oleh penduduk yang lebih tua kerana menyelesaikan isu permit tanah mereka.

Sejumlah penduduk di kawasan itu tinggal di rumah yang dibina di atas air dengan tiang konkrit dan dihubungkan dengan jambatan kayu dan jalan bertar yang sempit.

Penduduk kampung yang berbasikal dan motosikal dilihat singgah menyapa Wee, yang diiringi Adun Pekan Nenas Tan Eng Meng dan jentera MCA.

“Dalam politik, kalau nak bertanding sesuatu kawasan, kena berkhidmat dulu. Baru orang kenal,” kata Tan, semasa lawatan rumah bersama Wee, sebagai mengulas mengenai perpindahan Lim ke Tanjung Piai selepas tewas di kerusi Tenang pada pilihan raya negeri Mac lalu.

Selain berkongsi nombor pencalonannya yang dicetak pada risalah kempen, ternyata ramai yang ditemui Wee, termasuk di beberapa kedai makan di luar dua kampung, sudah biasa dengan kehadirannya.

Sentimen itu dapat dilihat di kalangan pengundi Cina dan Melayu, yang kedua-duanya mencari peluang untuk terus mendapatkan bantuan Wee.

Dua wanita Melayu yang ditemui Wee di medan selera telah meminta bantuan untuk menaik taraf gelanggang bola jaring kejiranan mereka, manakala seorang lagi meminta bantuan untuk membatalkan denda bagi menggantikan MyKad anak perempuannya yang hilang.

Sentimen tempatan sebegini berkemungkinan besar akan memberi manfaat kepada Wee.

Data pengundi terkini yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa pengundi Melayu membentuk 59 peratus pengundi di Tanjung Piai. Keputusan pilihan raya lepas menunjukkan majoriti orang Melayu di kawasan itu masih pro-BN.

Sementara itu, pengundi Melayu, Cina dan India berumur 55 tahun ke atas - mereka yang berkemungkinan besar tinggal di kawasan itu dan lebih kerap berurusan dengan penyandangnya - ialah 26.6 peratus daripada pengundi tempatan.

“Wee popular di sini tetapi dia kalah pada PRU14 kerana ramai yang marah kepada BN. Ramai orang muda marah, tetapi kami orang tua ingat apa yang dia lakukan di sini,” kata seorang pekedai yang hanya mahu dikenali sebagai Chan.

“Sebab itu dia menang sekali lagi (pada 2019) dan saya rasa dia boleh menang lagi kali ini.

“Setiap kali kami menghadapi masalah, kami boleh meminta bantuannya. Jika dia tiada di sini, orangnya akan datang,” tambah Chan.

Calon Muda Tanjung Piai Lim Wei Jiet

Pada PRK enam penjuru 2019, analisis keputusan menunjukkan bahawa calon PH Karmaine Sardini tenggelam oleh gelombang undi protes pengundi daripada pelbagai kaum, dengan sebilangan besar orang Melayu dan Cina beralih ke BN.

PH kalah di semua 27 daerah mengundi dan mencatat prestasi lebih buruk di kawasan majoriti Cina, berbanding PRU14 setahun sebelumnya.

Peratusan keluar mengundi di semua daerah pengundian majoriti Cina pada PRK itu juga lebih rendah daripada purata keseluruhan 74.5 peratus, menunjukkan ramai yang tidak keluar mengundi manakala pengundi luar tidak pulang mengundi.

Menjelang hari pengundian PRU ke-15 pada 19 Nov, pekerja perkhidmatan penghantaran berusia 31 tahun, Hafiz Azman berkata dia menjangkakan lebih ramai bekas rakan sekolahnya pulang dan mengundi.

“Belia masa kini lebih sedar kepentingan mengundi.

“Kita punya pusat undi pun di sekolah lama. Majoriti kawan-kawan sekolah akan balik undi. Nanti macam balik kampung raya," kata Hafiz yang ditemui ketika dia sedang menunggu penduduk kampung berhampiran mengambil bungkusan masing-masing.

Hafiz Azman

Wee mengakui dia berdepan cabaran sebenar untuk menarik sokongan pengundi baru dan muda yang tidak dapat ditemuinya sehingga mereka kembali ke kawasan itu.

“Sebab itu saya katakan, saya tak dapat buat spekulasi (tentang peluang menang) sedemikian. Yang penting 19 hari bulan.

"Sebab itu kita datang ke sini berjumpa semua pengundi di sini, termasuk merayu kepada mereka minta mereka maklum kepada anak mereka kalau balik nanti, harap dapat sokong kita," kata Wee.

"Saya melihat semua (calon) sebagai cabaran. Biar sesiapa jadi calon pun, kita bersaing. Kita bersaing dengan sihat lah. Sebab itu saya kata saya kena kerja kuat. Kita tak tahu (peluang menang), jangan buat spekulasi," katanya ketika ditanya sama ada Lim, sebagai calon muda daripada parti yang kebanyakannya berasaskan belia, boleh memberi cabaran baru terhadap BN.

Sejak awal kempen, Lim banyak bergantung pada kempen media sosial, termasuk merakam video bersama pemimpin Amanah Johor Mazlan Aliman yang sebelum ini mengkritik kepimpinan partinya sendiri berhubung pencalonan Muda.

Di lapangan, seorang anggota jentera kempen Muda memberitahu Malaysiakini bahawa program awal Lim di Kukup - kerusi DUN Tanjung Piai yang lain - tertumpu di kawasan awam, termasuk sesi di kopitiam yang menampilkan Maria Chin Abdullah dari PKR, manakala sesi dari pintu ke pintu di kampung-kampung itu dijadualkan bermula pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, tidak seperti Wee, Lim kebanyakannya dibantu oleh pasukan Muda dari Kuala Lumpur dan bahagian lain di Johor, serta pasukan penyokong PKR yang digerakkan oleh penyandang parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, yang tidak mempertahankan kerusinya pada PRU kali ini.

Maria sendiri dilihat di Tanjung Piai sebagai hadir menyokong Lim secara peribadi, tindakan yang dikatakan membalas budi apabila peguam berusia 31 tahun itu sebelum ini mewakili kes yang dikaitkan dengan gerakan Bersih yang pernah dipimpinnya.

Pada permulaan kempennya, Lim mengumumkan tiga fokus utamanya untuk Tanjung Piai - membangunkan kawasan itu sebagai hab kerja untuk belia, menambah baik kemudahan penjagaan warga emas dan mendapatkan lebih banyak subsidi untuk petani dan nelayan tempatan.

Semasa berjalan-jalan berhampiran terminal feri antarabangsa di Kukup pada Khamis, Lim turut meminta bekas Adun DAP Pekan Nenas Yeo Tung Siong untuk memperkenalkannya tetapi mereka kebanyakannya disambut dengan rasa ingin tahu dan angguk sopan dari kalangan warga emas.

Dengan pengundi yang lebih tua berkemungkinan tidak menyebelahinya, nasib Lim sebahagian besarnya terletak pada golongan muda dan pengundi luar.

Walau bagaimanapun, bergantung pada faktor itu saja mungkin tidak cukup.

Walaupun terdapat tambahan kira-kira 27,000 pengundi di Tanjung Piai sekarang berbanding 2018, tidak dapat dipastikan berapa ramai daripada mereka yang berminat dengan proses pilihan raya, yang kebanyakannya menjadi penggundi kerana pendaftaran automatik yang dilaksanakan.

Lihat Komen
ADS