Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Data SPR bocor: 'Maklumat 800,000 pengundi' dijual di laman penggodam
Diterbitkan:  Nov 12, 2022 2:35 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Kebocoran data yang pertama kali dilaporkan pada April kembali mendapat perhatian ketika kempen pilihan raya umum memasuki minggu kedua.

Ketika Suruhanjaya Pilihan Raya bersiap sedia untuk pengundian pada 19 Nov, satu bahagian kebocoran yang melibatkan data SPR kini menjadi tumpuan.

Data itu membabitkan maklumat pengundi merujuk kepada pangkalan data SPR yang dilaporkan mengandungi 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka.

SPR mengumpul gambar-gambar ini sebagai sebahagian daripada laman web Daftar MySPR yang dilancarkan pada 2019.

Pengundi boleh mendaftar di laman web ini untuk menukar alamat mengundi atau memohon menjadi pengundi pos.

Untuk mengesahkan identiti mereka, mereka perlu memuat naik gambar memegang kad pengenalan mereka.

Pangkalan data itu juga termasuk nombor telefon pengundi dan maklumat itu ditawarkan pada harga hanya AS$2,000 (sekitar RM9,400) sahaja di forum penggodam.

Polis dan SPR masih belum menjawab permintaan media untuk mendapatkan ulasan.

Dakwaan data jutaan rekod Putrajaya bocor

Pelanggaran itu berlaku lagi selepas ciapan di Twitter mengenainya awal minggu ini menjadi tular.

Malaysiakini pertama kali melaporkan pelanggaran data berkenaan pada Mei.

Pada masa itu, tumpuan diberikan terhadap berjuta-juta rekod daripada pangkalan data MyIdentity Putrajaya, yang dijual di forum penggodam dengan harga AS$10,000.

Tetapi sebahagian daripada data itu ialah data SPR.

Ini kebocoran pangkalan data kerajaan kedua dalam tempoh setahun, yang pertama pada lewat tahun lalu melibatkan pangkalan data MyIdentity yang sama.

Walaupun Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin (gambar, atas) pada Jun lalu mengakui kebocoran data peribadi itu, namun jelasnya penggodaman itu bukan kerja 'orang dalam' Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Hamzah berkata data kebocoran itu mungkin datang daripada internet, syarikat telekomunikasi, institusi kewangan dan agensi kerajaan lain, seperti jabatan tanah dan galian.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS