Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, sebagai tiada modal apabila mengaitkan gabungan itu dengan agenda Yahudi dan Kristian yang mahu mengambil alih Malaysia.
"Katanya Kristian dan Yahudi sudah menyusup masuk. Tak ada modal lain ke? Komunis, Kristian, Yahudi. Kalau merompak, tak ada masalah.
"Saya nak jawab (tuduhan itu), saya tidak defensive, saya tidak apologetic. Kalau anda nak saya memimpin negara ini, saya akan pertahan orang Melayu dan hak Melayu, saya pertahan orang Cina dan hak Cina, saya pertahankan orang India dan hak India, Sabah dan Sarawak," katanya yang dipetik oleh Astro Awani semasa ceramah di Bandar Tun Razak, malam tadi.

Pada masa yang sama, Anwar berkata, Muhyiddin sudah hilang kelayakan dalam persaingan sebagai perdana menteri kerana rekod kehadiran tidak memberangsangkan di parlimen dan keengganannya untuk mengisytiharkan harta.
"Bagaimana nak pilih pemimpin, nak tahu dia rasuah atau tidak? Apabila dia tak berani isytihar harta, jangan sokong. Muhyiddin kata dia sudah hantar laporan kewangan Bersatu kepada pendaftar pertubuhan. Apa kena mengena?
"Saya minta dia isytihar harta, tak berani sebab ada harta di sini, ada harta anak, ada harta menantu, ada harta di Australia... Nak jadi pemimpin must come clean, anda tak rompak, anda tak ambil tanah, tak ambil balak, tak ambil kontrak, baru rakyat percaya yang anda boleh memimpin,” katanya.
Pada ceramah PN pada 16 Nov lalu, Muhyiddin mengaitkan PH dengan kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia.

“Bagi saya ini bahaya. Apakah bermakna akan berlaku proses Kristianasasi? Kita dah dengar cerita ini bukan?
“Di Kuala Lumpur dan di Petaling Jaya, kalau ada gereja hari Ahad, ada juga orang-orang Melayu pergi sana. Rupanya dah masuk Kristian.
“Itu saya tak fikir berkembang dengan pesat sebab sebahagian besar kita adalah orang Islam. Tetapi agenda puak-puak dan kaum-kaum seperti ini adalah niat mereka adalah untuk mengambil alih Malaysia satu daripada koloni dia.
“Itu adalah strategi jangka waktu panjang. Mungkin kita tidak lihat ini pada waktu ini tetapi mungkin tidak berapa lama lagi kalau kita tidak berhati-hati dan berjaga-jaga,” kata Muhyiddin.
Bekas perdana menteri itu kemudiannya dikecam kerana kenyataannya, dengan Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) menggesa pihak berkuasa supaya bertindak bagi mengelakkan kenyataan seperti itu berulang.

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata ucapan kebencian tidak pernah menjadi penyelesaian untuk menangani masalah rakyat yang dibelenggui antaranya, gaji rendah, kos sara hidup tinggi serta kekurangan peluang sama rata.
“Pemimpin PAS yang diketuai oleh presidennya Abdul Hadi Awang telah dikenal pasti oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) sebagai antara yang menjadi antara individu utama yang menyebar luas naratif bersifat kebencian, tidak boleh bertolak ansur, rasis dan memecah-belahkan,” katanya.
