story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 3 | BN kekal tak sokong mana-mana gabungan - Saravanan

PASCA PRU15 | Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin saling bersaing untuk menawan Putrajaya dengan kedua-duanya mendakwa mempunyai majoriti.

Yang di-Pertuan Agong telah memberikan tempoh kepada kedua-duanya sehingga sehingga 2 petang ini untuk membuktikan dakwaan mereka.

Malaysiakini membawakan berita terkini secara langsung selepas pilihan raya umum.


BN mohon tangguh menghadap Agong - Hishammuddin

12.18 tengah malam - Barisan Nasional (BN) dilaporkan akan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menangguhkan sesi menghadap yang dijadualkan esok.

“Bukan amalan kita bercerita pada khalayak. Sama ada (nak) mohon penangguhan (menghadap) atau tidak, anda akan tahu esok,” kata Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein seperti dipetik Bernama kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur, malam ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata BN masih mengekalkan keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

“Kita harap (sesi menghadap esok) boleh ditangguhkan...tak tahu boleh ke tidak. Kita bukan nak tubuh kerajaan, tapi nak nyatakan pendirian sahaja (ketika menghadap),” katanya, lapor Bernama.

Sultan Abdullah hari ini menitahkan 30 Ahli Parlimen BN menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada jam 10.30 pagi esok.


Apa pendirian terkini GPS? Tunggu dulu, kata Abang Jo

11.22 malam: Kuching, Sarawak - Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg dilaporkan telah memanggil mesyuarat ahli parlimen GPS di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.

Menurut portal Dayak Daily, pertemuan itu untuk membincangkan situasi politik selepas pilihan raya.

"Tiada apa-apa. Saya hanya mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen buat kali pertama dan membincangkan serta memantau mengenai apa yang berlaku di Kuala Lumpur," kata Abang Jo ketika ditemu bual selepas mesyuarat itu.

Dia juga ditanya wartawan mengenai pendirian terkini GPS berhubung sokongan terhadap PN atau PH.

"Tunggu dulu, saya tidak ada details (butirannya) lagi," jawab Abang Johari.


Anwar: Terima kasih sabar menanti, semua mahu yang terbaik

11:09 malam - Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus sabar menanti.

"Saya tahu semua orang dan semua pihak cintakan negara ini dan mahukan yang terbaik.

"Penghargaan juga buat rakan-rakan media yang setia menunggu untuk memberi liputan yang menyeluruh dan seimbang.

"Terus berdoa untuk Malaysia yang lebih baik," katanya pasa satu hantaran di media sosial malam ini.


Angka 115 Muhyiddin termasuk GPS dan MP BN - laporan

9.40 malam: New Straits Times melaporkan dakwaan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berhubung 115 akuan berkanun (SD) menyokongnya sebagai perdana menteri adalah “pramatang” kerana ia termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa ahli parlimen BN.

Muhyiddin mengemukakan akuan berkanun semalam, tetapi dalam perkembangan terbaru hari ini GPS dan BN memutuskan untuk tidak menyokong PH atau PN.

NST memetik sumber yang tidak dinamakan menjelaskan bahawa selagi tarikh akhir pada jam 2 petang hari ini belum ditutup, sesiapa sahaja boleh mengubah fikiran.

“Dia (Muhyiddin) berpendapat dengan mengemukakan SD awal ia akan membantu memastikan percubaan kedua menjadi perdana menteri.

“Dia berkata dia terkejut dengan apa yang dititahkan baginda, bahawa dia tidak mempunyai majoriti, tetapi seluruh negara sudah melihat kenyataan GPS awal hari ini.

"Pada asasnya, persetujuan GPS tidak diperoleh dengan betul oleh PN," lapor NST memetik sumber dalaman.


MP BN bermesyuarat lagi malam ini

8.45 malam: Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur - Ahli parlimen BN satu demi satu tiba di sini untuk mesyuarat pada malam ini.

Antara yang tiba ialah Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor, Presiden MCA Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng dan Pengerusi BN Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Difahamkan, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob turut hadir.


Agong cadang kerajaan PH-PN, tapi Muhyiddin tak setuju

6.50 petang - Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mendedahkan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan kerajaan campuran antara PH dan PN.

Bagaimanapun, katanya, PN telah membuat keputusan daripada awal untuk tidak bekerjasama dengan PH.

“Apa tujuan sekali pun tak setuju,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin juga berkata dia menandatangani surat tidak bersetuju dengan pembentukan kerajaan perpaduan.

“Inilah pendirian kami,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur sebentar tadi.


BN mesyuarat lagi malam ini

6.40 petang - Timbalan Presiden MIC M Saravanan mengesahkan Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat kali kedua yang dijadualkan berlangsung malam ini di Menara Dato Onn.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Saravanan berkata mesyuarat itu akan berlangsung di ibu pejabat Umno pada 8.30 malam.

“Saya tidak tahu. Setakat ini, saya hanya menerima notis mengenai mesyuarat itu,” katanya kepada media yang menunggu ketika keluar dari bangunan itu.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong juga berkata akan ada mesyuarat yang dijadualkan malam ini.

Bagaimanapun, Wee enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai mesyuarat itu, dengan berkata “tunggu dan lihat sahaja."

“Awak dah tahu, kenapa awak tanya saya. Beri saya sedikit masa untuk makan malam,” katanya sambil bergurau.


30 MP BN menghadap Agong esok

6.35 petang - 30 ahli parlimen BN akan menghadap Yang di-Pertuan Agong secara individu di Istana Negara pada jam 10.30 pagi esok.

Ini untuk Yang di-Pertuan Agong menentukan siapa yang paling berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen, mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin ketika memaklumkan perkara ini berkata baginda juga mengulangi titah supaya rakyat terus bertenang.


Anwar: Istana bagi masa lagi

5.50 petang, Istana Negara - Perlumbaan merebut jawatan perdana menteri baru masih diteruskan, menurut Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita di luar Istana Negara, Anwar tetap yakin dia akan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dalam masa yang mencukupi.

"Buat masa ini, tidak timbul persoalan tentang membentuk kerajaan minoriti," katanya.


Spekulasi liar bertiup kencang

5.35 petang - Spekulasi bertiup kencang bahawa Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri sementara tetapi Malaysiakini sedang menunggu pengesahan dari Istana Negara.

Malaysiakini boleh mengesahkan bahawa Anwar masih berada di Istana Negara selepas pengerusi PH itu dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin diperkenankan menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar jam 4 petang tadi.

Muhyiddin telah beredar keluar tanpa menemui media yang berkumpul di pintu masuk Istana Negara.

Bagaimanapun, belum ada lagi sebarang pengesahan rasmi mengenai pembentukan kerajaan seterusnya.


Kereta Muhyiddin dilihat beredar dari Istana Negara

5.05 petang, Istana Negara - Suasana begitu sibuk di luar Istana Negara ketika pengamal media menunggu pengumuman rasmi bselepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima menghadap Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Persediaan dibuat untuk menyediakan peralatan kamera dan audio, termasuk memasang mikrofon di kawasan khusus.

Cuaca kembali cerah selepas hujan gerimis sebentar tadi.

Kereta Muhyiddin juga dilihat meninggalkan istana dan media mengharapkan Anwar berucap.


Penyokong PH berkumpul di istana

4.25 petang, Istana Negara - Lebih ramai penyokong Pakatan Harapan hadir di Pintu 2 Istana Negara bagi menjangkakan pelantikan perdana menteri baru.

Pada masa ini, dianggarkan 100 penyokong PH sedang berpusu-pusu berhimpun.

Ketua polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor memberitahu akhbar bahawa pihaknya akan menambah bilangan anggota keselamatan yang hadir.

Beberapa anggota polis dengan kelengkapan antirusuhan dilihat mengambil kedudukan.


Berapa sokongan terhadap PH dan PN setakat ini?

4.20 petang - Berikut ialah imbasan ringkas tentang angka sokongan yang dimiliki oleh semua gabungan.

Pakatan Harapan (PH) mempunyai 82 ahli parlimen. Warisan - yang mempunyai 3 ahli parlimen - berkata akan menyokong gabungan PH-BN.

Bagaimanapun, 30 ahli parlimen BN telah memutuskan untuk kekal berkecuali dan kelihatan bersedia untuk menyokong kerajaan minoriti melalui perjanjian keyakinan dan bekalan (CSA).

Ahli parlimen tunggal PBM, Larry Sng, juga kelihatan cenderung kepada PH - dan hadir pada pertemuan PH-BN di Hotel Seri Pacific semalam.

Secara teorinya, PH, Warisan, dan PBM - jika digabungkan - membentuk 86 Ahli Parlimen.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) mempunyai 73 ahli parlimen, manakala rakan sejawatannya di Sabah GRS mempunyai 6 ahli parlimen.

Tiga ahli parlimen Sabah, dua daripada KDM dan seorang bebas, telah menyelaraskan diri mereka dengan PN.

Sebelum ini, GPS Sarawak - yang mempunyai 23 kerusi selepas memenangi Baram semalam - pada mulanya menyokong PN.

Bagaimanapun, mereka kini telah berkata bahawa akan menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri - membayangkan bahawa sokongannya untuk PN tidak lagi dijamin.

PN, dengan GRS dan tiga ahli parlimen Sabah, dengan itu mempunyai 82 ahli parlimen.


Pemimpin PKR 'berkampung' di pejabat Anwar

4.19 petang, Jalan Gasing, PJ: Lebih ramai pemimpin PKR tiba di pejabat presiden parti di sini. Antara yang baru tiba termasuklah, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang menang kerusi parlimen Gombak, dan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Rodziah berkata dia tiba awal untuk hadir "mesyuarat pramajlis" manakala Amirudin enggan mengulas.

Turut kelihatan, Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan, wakil rakyat Tanjong Malim Chang Lih Kang dan Wong Chen (Subang).


Muhyiddin, Anwar tiba di Istana Negara

4.07 petang, Istana Negara, Kuala Lumpur: Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beberapa minit kemudian, Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim tiba bersama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini memanggil Muhyiddin dan Anwar ke istana pada 4.30 petang hari ini.


Penyokong PH laung ‘reformasi’, ‘lawan tetap lawan’

3.45pm: Sekumpulan kira-kira 20 penyokong Harapan tiba dan mengulangi laungan "Reformasi!" dan "Lawan Tetap Lawan, Lawan Sampai Memang!"

Kebanyakan mereka yang terdiri daripada warga emas berkumpul kira-kira 500 meter dari Pintu 2 Istana Negara:

Peguam Negara Idrus Harun dan Setiausaha Negara Mohamad Zuki Ali turut tiba di istana.


Pelbagai versi berkaitan pendirian BN

3.55pm: Kali ini Presiden MIC SA Vigneswaran pula berkata BN berkecuali dan tidak sokong mana-mana gabungan, tidak kira PH atau PN.

Maka, katanya, sebarang akuan berkanun menyokong mana-mana gabungan adalah tidak sah.

“Individu” yang membuat dan menyerahkan SD mewakili BN juga tidak sah dan boleh diambil tindakan serius, katanya lagi.


Agong titah Anwar, Muhyiddin menghadap 4.30 petang

3.50pm: Istana Negara dalam kenyataan rasmi memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menghadap pada jam 4.30 petang ini.

Ini selepas Seri Paduka Baginda mendapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

"Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan PH dan PN menghadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara,” ujar kenyataan tersebut.

Tiada MP BN sokong Muhyiddin sebagai PM

3.40pm: Tiada ahli parlimen BN yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata setiausaha agung gabungan itu Zambry Abd Kadir.

Pemakluman berkaitan perkara itu juga telah dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong, katanya lagi.

“Dewan Tertinggi juga mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.


Anwar dititah menghadap Agong

3.29pm: Anwar Ibrahim dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam empat petang ini, kata sumber-sumber yang rapat dengan pengerusi PH itu kepada Malaysiakini.

Sumber-sumber bagaimanapun tidak menyatakan sebab kenapa dia dipanggil.


PH mesyuarat 4 petang ini

3.15pm: Menurut Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen, PH akan bermesyuarat di pejabat Anwar pada 4 petang ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu memberitahu pemberita bahawa dia dipanggil untuk menghadiri mesyuarat itu, yang akan diadakan bersama "ahli parti".

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada ia akan melibatkan semua ahli parlimen PH atau hanya pemimpin parti.

"Saya menerima mesej untuk datang berjumpa, jadi saya datang," katanya.


Kenderaan keluar masuk

3pm: Pemimpin PN, Abdul Hadi Awang, Hamzah Zainuddin, dan Azmin Ali dilihat meninggalkan kediaman pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, di Bukit Gasing, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah antara yang terbaru tiba di pejabat Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah Mohamad Sabu turut berada di situ.

Debaran kini semakin dirasakan.


BN sedia tandatangani CSA - Laporan

2.50 pm: The Star memetik pemimpin BN yang tidak dinamakan, melaporkan bahawa gabungan itu bersedia untuk melaksanakan perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan mana-mana kerajaan minoriti.

CSA menyerupai memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh PH dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Dalam amalan parlimen, CSA akan dapat memastikan bahawa pembangkang tidak menyokong undi tidak percaya, dan sama ada menyokong atau mengelak daripada mengundi rang undang-undang fiskal seperti belanjawan negara.


MCA hormati keputusan rakyat - Wee

2.30pm: Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata MCA menghormati keputusan rakyat dalam pilihan raya umum baru-baru ini dan akan kekal sebagai pembangkang.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan BN telah kehilangan sokongan untuk membentuk kerajaan kerana gabungan itu telah kehilangan mandat rakyat.

Ketika ditanya sama ada MCA akan mempertimbangkan untuk menyokong kerajaan minoriti melalui perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA), Wee berkata masih "terlalu awal" untuk membincangkan perkara itu.

"Terlalu awal (untuk berbincang). Apa sahaja yang baik untuk negara, kita akan lakukan sahaja," katanya.


Agong minta bersabar, hormati keputusan pengundi

2:20 petang: Yang di Pertuan Agong menyeru semua pihak menghormati keputusan pengundi.

“Rakyat diminta bersabar, dan menerima keputusan rakyat, wakil rakyat, dan saya sendiri.

“Kita perlu rasional, kita perlu teruskan.

"Biar saya buat keputusan segera," katanya kepada media yang berkumpul di luar istana.

Baginda - yang akan kembali ke istana selepas keluar sebentar - berkata baginda tidak mempunyai peluang untuk melihat jika mana-mana pihak telah membuktikan mereka mempunyai majoriti.

Baginda juga berkata baginda tidak dapat memastikan sama ada akan ada upacara angkat sumpah hari ini.

Apabila ditanya sama ada baginda akan memanggil ahli parlimen seorang demi seorang, baginda menunjukkan semula ke arah wartawan itu sambil tersenyum tetapi tidak menjawab.

Baginda kemudian bertanya sama ada media mempunyai makanan dan minuman, yang mana mereka bertindak balas secara positif.


Disahkan: BN tidak menyokong kedua-dua PH, PN

2.10 petang - Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mengesahkan BN tidak akan menyokong PH atau PN.

Dia tweet bahawa majlis tertinggi BN telah memutuskan bahawa gabungan itu harus kekal bersama pembangkang.

Tanpa sokongan daripada 30 ahli parlimen BN, kedua-dua pihak tidak boleh membentuk majoriti mudah.

Ismail Sabri Yaakob

GPS - yang menyokong PN semalam - telah meninggalkan urusan pelantikan perdana menteri kepada Yang di Pertuan Agong.


Warisan sokong PH-BN

1.50 petang - Warisan menyatakan sokongan kepada gabungan PH-BN.

"Warisan memberi sokongan kepada PH dan BN kerana kedua-duanya mempunyai bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan, dan majoriti rakyat telah mengundi PH dan BN," kata presiden parti Shafie Apdal.

Bagaimanapun, ini berlaku selepas Ahli Parlimen BN dilaporkan memutuskan untuk mengelak daripada menyokong mana-mana gabungan.

Gabungan undi popular dari PRU15 untuk PH dan BN ialah 59.3 peratus.


Anwar dijangka akan ke istana tidak lama lagi

1.40 petang - Media yang ditempatkan di luar pejabat Anwar Ibrahim di Bukit Gasing melaporkan bahawa pengiring polis telah tiba.

Anwar dijangka akan menuju ke istana tidak lama lagi, tetapi dengan BN dilaporkan mengelak daripada menyokong mana-mana gabungan - sama ada beliau boleh mengangkat sumpah adalah tidak pasti.

Sementara itu, di Bukit Damansara, semakin ramai pengunjung yang datang ke rumah Muhyiddin Yassin walaupun tiada pengiring polis setakat ini.


Speaker menghadap Agong

1.30pm: Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memasuki istana negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Dia tiba dengan Toyota Vellfire melalui Pintu 2 di mana petugas media sedang berkumpul.

Setakat ini tiada individu terkemuka lain dilihat memasuki istana.


Tiada SD ditandatangani

1.08 petang - Kesemua 30 Ahli Parlimen yang hadir pada mesyuarat majlis tertinggi BN hari ini tidak menandatangani sebarang akuan berkanun (SD) untuk menunjukkan sokongan terhadap sebarang kerjasama dengan gabungan lain.

Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias ​​berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat itu berjalan lancar dan kesemua 30 ahli Parlimen bertindak secara solidariti.

“Kami telah membuat keputusan. Serahkan kepada Setiausaha Agung BN untuk memberi kenyataan.

“Tiada SD telah ditandatangani. Kami tidak berpihak (dengan sesiapa pun).”


Tarikh, masa tidak akan dilanjut - Istana

1:00 petang : Istana Negara - Tarikh akhir jam 2:00 petang untuk parti politik atau gabungan membuktikan jumlah mereka dan menamakan calon Perdana Menteri tidak akan dilanjutkan lagi.

"Tidak (ia tidak akan dilanjutkan) dan kekal pada pukul 2:00 petang," kata Pegawai Pengawal Keluarga Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin kepada Malaysiakini.

Beliau ditanya sama ada tarikh akhir akan ditangguh lagi.

Parti atau gabungan yang mempunyai majoriti sokongan sepatutnya memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya jam 2:00 petang semalam, tetapi Seri Paduka memberikan tarikh akhir selama 24 jam lagi berikutan permintaan pemimpin parti.

Dengan masa kurang dari satu jam, ia masih belum dapat dilihat gabungan mana yang akan membentuk kerajaan.


12:55 tengah hari - Bekas Ahli Parlimen Alor Gajah Redzuan Mohd Yusoff berpura-pura tidak tahu apabila diajukan soalan yang bertubi-tubi sebaik tiba di kediaman ketua PN Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.

Ditanya mengenai perkembangan SD untuk Muhyiddin atau ada yang menarik sokongan, Redzuan berulang kali menjawab tidak tahu.

Sebaliknya, dia berkata dia hanya singgah untuk berjumpa media supaya dia boleh menghantar makanan - hidangan KFC. Dia kemudian bergegas masuk ke dalam rumah Muhyiddin.

Pengunjung berpusu-pusu ke kediaman Bukit Damansara sejak pagi tadi - kebanyakannya adalah pemimpin Bersatu.


Hishamuddin pertikai BN, kekal dalam pembangkang

12:50 tengah hari - Ahli Parlimen Sembrong Hishamuddin Hussein - yang dispekulasi berpihak kepada PN - kini mempertikaikan BN kekal dalam pembangkang.

"Jika tiada kata sepakat dan kata putus, lebih baik BN bertindak sebagai pembangkang dan saya bersedia untuk itu," katanya.

Tambahnya, beliau akan tetap setia kepada BN dan berhasrat untuk "menyembuhkan" Umno, sambil tidak berkompromi dengan pendiriannya.

Hishammuddin menentang BN membentuk kerajaan bersama Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan.


12:40 tengah hari- Perhimpunan media di luar Pintu 2 Istana Negara makan popcorn percuma sementara menunggu untuk menyediakan negara dengan maklumat terkini tentang drama politik yang sedang berlaku.

Memandangkan tarikh akhir diraja jam 2:00 petang menanti semua parti politik menyerahkan rakan gabungan terakhir mereka dan calon perdana menteri, lebih banyak makanan percuma juga tiba untuk diedarkan di dua khemah yang didirikan di atas rumput yang dibasahi lumpur selepas hujan semalaman.

Kebanyakan duduk di meja set-up tetapi yang lain membawa kerusi mereka sendiri.


12.05pm: Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, dilihat keluar dari ibu pejabat Umno.

Dia berkata mesyuarat dewan tertinggi BN telah membuat keputusan mengenai kerjasama BN-PH.

Bercakap kepada petugas media, Chong berkata pemimpin tertinggi BN sedang bermesyuarat dengan ahli parlimen itu gabungan sekarang.

“Kami telah berbincang dan bertemu dengan Ahli Parlimen sekarang.

“Ia adalah perbincangan yang baik. Belum ada tandatangan SD. Biar pengerusi BN (Ahmad Zahid Hamidi) atau Setiausaha Agung (Zambry Abdul Kadir) keluarkan kenyataan.

Sementara itu, presiden MCA Wee Ka Siong senada dengan Chong dan mengatakan "mereka akan membuat pengumuman".


DAP gesa semua pihak bertenang

12.11pm: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menggesa agar semua pihak bertenang sementara menunggu keputusan muktamad oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memilih perdana menteri.

“Proses yang sedang berjalan mungkin baru di negara kita, tetapi ia adalah perkara biasa dalam demokrasi berparlimen dalam sistem Westminster, di mana tiada satu parti/pakatan politik memperoleh majoriti dalam Dewan Rakyat.

“DAP akan selama-lamanya mempertahankan prinsip Rukun Negara, dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan negara,” kata Loke dalam satu kenyataan pagi ini.

"Keamanan dan keselamatan rakyat mesti dipelihara dalam meraikan demokrasi yang semakin berkembang di negara ini," tambahnya.


BN dan PN adakan mesyuarat serentak

11.45am - Pemimpin tertinggi BN kini sedang bermesyuarat di tingkat 30 WTCKL, Kuala Lumpur.

Sebahagian daripada mereka, termasuk ketua Umno bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos, membayangkan kerjasama BN-PH akan berlaku dalam masa terdekat.

Tidak jauh dari Bukit Damansara, pemimpin tertinggi PN sedang bermesyuarat di kediaman Muhyiddin Yassin.

Antara yang hadir ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin.


PAS: Jangan menangguk di air keruh, jolok sarang tebuan

11.30am: Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyeru semua pihak menghormati undang-undang, memelihara ketenteraman awam dan menghalang provokasi ketika proses pembentukan kerajaan sedang berlangsung.

“PAS menegaskan untuk memelihara kestabilan politik dan ekonomi dalam negara dan seterusnya memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya 'tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan', demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Dalam kenyataannya, dia bagaimanapun tidak merujuk khusus kepada mana-mana pihak atau insiden.


11.15am: Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin berkata gabungan itu telah menerima satu surat akuan berkanun daripada seorang lagi ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai perdana menteri Malaysia Ke-10.

"Surat Akuan Berkanun ini telah dihantar ke Istana Negara pagi ini," katanya dalam kenyataan ringkas.


10.50am: Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias ​​berkata Umno mesti mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) jika parti itu memutuskan untuk bekerjasama dengan PH.

Dia mengulangi keputusan parti itu sebelum ini untuk tidak bekerjasama dengan PH, dan mengatakan tiada sesiapa pun boleh mengubah pendirian parti.

“Saya bertanding di bawah BN, saya orang parti. Saya tidak akan menentang pendirian parti.

"Jika parti membuat keputusan baru, ia perlu dipersetujui oleh semua ahli parlimen," katanya kepada wartawan yang sedang menunggu di ibu pejabat Umno.


Ismail Sabri juga hadir

10.30am: Difahamkan, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob turut tiba di ibu pejabat Umno untuk menghadiri mesyuarat dewan tertinggi BN.

Dipercayai Ismail Sabri memasuki bangunan itu melalui tempat letak kereta bawah tanah. Setiausaha akhbarnya Azmi Tarmizi turut dilihat berada di sini.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan turut kelihatan memasuki Ibu Pejabat Umno.


Pemimpin BN tiba Ibu Pejabat Umno

9.50am: Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani tiba di ibu pejabat Umno pada 9.52 pagi.

Johari adalah antara pemimpin tertinggi BN yang tiba di sini untuk menghadiri mesyuarat dewan tertinggi gabungan itu yang dijadualkan pada 11 ​​pagi ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Titiwangsa itu enggan mendedahkan butiran lanjut apabila ditanya wartawan yang sedang menunggu.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon tiba sejurus selepas ketibaan Johari pada 9.55 pagi.

"Untuk buat keputusan," kata Chong ringkas, apabila ditanya mengenai mesyuarat itu.

Ketibaan Chong disusuli oleh timbalan presiden MCA, Mah Hang Soon pada 10.04 pagi.


Keadaan sunyi di WTCKL

8.30am: Pagi yang mendung di kebanyakan kawasan di Lembah Klang.

Setakat ini keadaan di WTCKL, yang merupakan ibu pejabat BN dan Umno, sunyi sepi.

Sementara itu beberapa orang wartawan ditugaskan di luar kediaman Anwar Ibrahim di Sungai Long, Selangor.


Retorik perkauman membimbangkan - Anwar

8.00am: Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap sentimen dan retorik perkauman sejak kebelakangan ini.

Menurut Anwar keadaan itu diapikan oleh segelintir pihak yang terdesak dan berkepentingan terutamanya di saat penting seperti sekarang.

“Usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan kerana kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,” kata Anwar dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Anwar berkata dia mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara Acryl Sani Haji Abdullah Sani dalam menghentikan perkembangan yang mampu menggugat kemajmukan Malaysia.

Lihat Komen
ADS