Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin memaklumkan dia sudah memberi keterangan kepada polis di Balai Polis Kulim Hi-tech berhubung kenyataan "kerajaan zina" yang dibuatnya.
Bagaimanapun exco kerajaan Kedah itu menafikan kenyataan tersebut merujuk kepada kerajaan persekutuan yang dibentuk Pakatan Harapan (PH) dan BN sebagai penghinaan kepada institusi diraja.
"Saya rujuk ketidakrelaan penyokong-penyokong Umno di bawah (akar umbi)... itu yang saya rujuk.
"Saya agak kasar sedikitlah malam itu sebab kerajaan baru tertubuh.
"Jadi kita tengok pemimpin-pemimpin Umno sanggup menjual perjuangan Umno dengan murahnya. Itulah saya rujuk sebagai yang saya sebut (kerajaan zina)," katanya kepada media ketika ditemui dalam program berkempen di Kampung Nesa, Padang Serai, hari ini.
Tambah Azman dia memberi keterangan kepada polis semalam.
Terdahulu Azman dilaporkan menyifatkan kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai "kerajaan zina".
Calon BN bagi kerusi Padang Serai C Sivaraj kemudian menyifatkan kenyataan Azman itu bukan sahaja menggambarkan keangkuhannya malah menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Difahamkan kepimpinan PH sudah membuat laporan polis berkait kenyataan Azman itu.
Sementara itu Azman turut menafikan tindakannya itu sebagai penghinaan kepada institusi diraja negara.
"Kami dalam PN pun akur dengan keputusan yang dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong.
"Jadi saya rujuk kepada resolusi yang Umno sendiri buat dan melanggarnya resolusi mereka sendiri, maka ahli-ahli Umno di bawah ini kecewa dan marah," katanya yang merujuk kepada keputusan BN untuk menyertai kerajaan yang dibentuk Anwar.
