Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuduhan PN 'kerajaan perpaduan zina' hina Agong - Sivaraj
Diterbitkan:  Nov 28, 2022 10:48 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Calon BN Padang Serai, Sivaraj Chandran berkata kenyataan calon PN, Azman Nasruddin yang menyifatkan kerajaan perpaduan sebagai ‘kerajaan zina’ sebagai satu penghinaan kepada Institusi Diraja.

Sivaraj berkata kenyataan Azman itu bukan sahaja menggambarkan keangkuhannya tetapi juga menghina Institusi Diraja dan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Bukankah kita semua sedar bahawa niat dan perancangan membentuk kerajaan perpaduan bersama PH oleh BN adalah untuk menyantuni nasihat dan titah Yang di-Pertuan Agong?

“Walaupun BN sudah awal-awal lagi memberi indikasi jelas bahawa kami mengakui kekalahan pada pilihan raya ke-15 dan ingin kekal sebagai pembangkang, sehinggalah dipanggil menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan dititahkan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama PH,” katanya dalam kenyataan.

Dia kesal dengan penggunaan istilah “zina” oleh Azman yang dilihat sebagai angkuh.

Tambahnya, Azman juga berdegil dan enggan mematuhi cadangan Agong supaya kerajaan perpaduan dibentuk, walaupun dinasihatkan berbuat demikian selepas mempertimbangkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh PH dan PN.

“Sudahlah menolak cadangan dan titah Yang di-Pertuan Agong itu sendiri satu perbuatan menghina institusi raja, kini mereka tanpa segan silu menggunakan perkataan ‘zina’ pula,” kata Sivaraj.

Pada masa sama, katanya dia yakin penduduk Padang Serai bijak dan menghormati institusi raja negara.

“Azman, sila fahami situasi negara apabila kita tidak dapat membentuk kerajaan walaupun selepas beberapa hari PRU15. BN terpaksa berganding bahu dengan PH atas titah Yang di-Pertuan Agong serta ekoran daripada implikasi angkuh PN dari titah baginda,” katanya.

Lihat Komen
ADS