Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Realiti politik letakkan Zahid 'penyelamat' Anwar - Sumber PH

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka akan mendedahkan kabinetnya esok - dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menduduki salah satu antara dua jawatan timbalan perdana menteri.

Ia satu keadaan rumit apabila timbul persoalan terhadap kesan yang boleh menjangkau lebih jauh pada enam pilihan raya negeri akan datang.

Memilih Zahid sebagai timbalannya daripada BN dianggap oleh pemerhati sebagai satu keperluan politik jika Anwar mahu kerajaan persekutuan yang stabil.

Tanpa presiden Umno, Anwar mungkin kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen BN dalam undi percaya akan datang pada 19 Dis.

Bagaimanapun, langkah itu juga berisiko menimbulkan kemarahan penyokong PH yang mahukan kabinet bersih tanpa melantik mereka yang sedang dibicarakan kerana rasuah.

Jika Anwar meneruskan langkah ini, dalam senario terburuk, harga yang perlu dibayar mungkin kekalahan kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan yang dipimpin oleh partinya PKR.

Semasa PRU15, PH memperoleh 52.8 peratus undi di Selangor, diikuti PN (27.5 peratus), dan BN (17.4 peratus).

Di Negeri Sembilan, PH meraih 44.8 peratus undi, diikuti BN (32.2 peratus) dan PN (22 peratus).

Jika pengundi PH pada PRU15 berasa dikhianati, mereka mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi ketika pilihan raya negeri nanti.

Ini walaupun kebanyakan pengundi Selangor dan Negeri Sembilan tinggal di dua negeri berjiran itu atau hanya perlu memandu satu ke dua jam untuk balik mengundi.

Seperti yang dilihat semasa pilihan raya negeri Melaka dan Johor, peratusan keluar mengundi yang lemah akibat sikap tidak peduli politik telah memanfaatkan BN - yang menang dua pertiga kerusi walaupun meraih kurang daripada 50 peratus undi.

Pada pilihan raya negeri akan datang, jika peratusan keluar mengundi rendah dijangka Perikatan Nasional akan mendapat manfaatnya, apalagi dengan penyokongnya yang bermotivasi tinggi.

PN juga dijangka mendapat sokongan daripada penyokong BN yang menentang gabungan itu bekerjasama dengan Anwar dan DAP untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Sebarang tanda campur tangan dalam kes rasuah Zahid - atau jika presiden Umno itu disabitkan bersalah dalam salah satu daripada dua kesnya - akan turut merumitkan lagi keadaan bagi Anwar dan PH.

Buat masa ini, beberapa pemimpin PH Selangor memberitahu Malaysiakini - dengan syarat enggan dinamakan - percaya kebanyakan penyokong gabungan itu, kecuali idealis tegar, akan menerima keperluan politik untuk Zahid jawatan timbalan perdana menteri.

"Sama ada Zahid atau orang lain daripada Umno (sebagai timbalan perdana menteri) tidak ada bezanya lagi kepada penyokong PH," kata satu sumber yang merupakan ahli parlimen.

“Bahagian sukar untuk menerima bekerjasama dengan Umno sudah diuruskan, selebihnya hanya butiran lanjut.

"Mereka faham jika mereka mahu melihat PH di Putrajaya, ia datang dengan 'kombo' ini (Anwar dan Zahid)," tambah sumber itu.

Sumber lain, seorang Adun bersetuju dengan penjelasan itu, berkata pengundi akan faham keperluan praktikal untuk Zahid berada dalam kabinet Anwar.

"Apakah pilihan Anwar? BN bergerak secara kolektif," katanya.

Ia sentimen sama dikongsi oleh penyelidik kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun - yang berkata Anwar perlu menjelaskan perkara ini kepada penyokongnya.

"Saya rasa Anwar perlu mengadakan beberapa bentuk perbincangan dari hati ke hati dengan penyokong PH mengenai perubahan yang agak di luar jangkaan ini, bahawa tidak kira sama ada seseorang itu suka Zahid atau tidak, PH memerlukan sokongan BN untuk kekal sebagai kerajaan.

"Zahid ialah tulang belakang dalam memastikan sokongan BN kekal sebegitu, dan alternatif itu terlalu sukar untuk difikirkan - kerajaan yang dikuasai PAS yang pasti akan meneruskan pelbagai dasar teokratik di sebuah negara berbilang kaum.

"Saya rasa penyokong PH sudah cukup memahami, walaupun mereka mungkin keberatan untuk melihat pelantikan Zahid (sebagai timbalan perdana menteri)," kata Oh kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dipetik Berita Harian hari ini tidak menolak kemungkinan PH dan BN akan bekerjasama semasa pilihan raya negeri.

Jika ini berlaku, ia boleh mengurangkan kehilangan sokongan daripada penyokong tegar PH.

Selangor dimenangi Pakatan Rakyat sebelum ini pada 2008 dan kekal dengan gabungan itu sejak itu.

Sementara itu, PH menawan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum 2018.

Kedua-dua negeri itu, bersama Pulau Pinang - negeri yang dikuasai DAP - serta Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang berada di bawah pemerintahan PN, telah memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15.

Tempoh dewan undangan negeri mereka berakhir pada pertengahan tahun depan.


Laporan tambahan oleh Hariz Mohd.

Lihat Komen
ADS