mk-logo
Berita
Video provokasi: SKMM, polis panggil pengurusan TikTok
Diterbitkan:  Nov 30, 2022 10:26 PM
Dikemaskini: 2:27 PM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis telah memanggil pengurusan TikTok untuk menjelaskan video "kandungan berbayar" yang memberi amaran berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969.

SKMM berkata pihaknya juga terus memantau video kebencian yang tersebar di platform itu dan seterusnya menular ke media sosial lain.

"Penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat untuk mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain, adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal ehwal berkaitan dengan agama dan kaum.

"Dalam pada itu, pihak SKMM dan PDRM akan mempertingkat usaha mereka dalam mengekang penyebaran bideo-video sedemikian yang boleh menggangu-gugat ketenteraman awam," kata suruhanjaya itu pada kenyataan malam ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa video di TikTok yang memberi amaran tentang berulangnya rusuhan kaum beredar susulan pilihan raya umum ke-15.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan sekurang-kurangnya tiga video sedemikian merupakan "perkongsian berbayar" dengan platform itu.

Bagaimanapun, TikTok memberitahu Malaysiakini, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada video itu telah ditaja oleh ahli politik atau tidak.

Ia juga enggan mendedahkan jumlah video yang sebenarnya dibayar.

Menurut laporan, seorang ahli PAS didakwa menaja iklan serangan di Facebook melalui halaman berkaitan Perikatan Nasional.

Sementara itu, SKMM menggesa netizen agar tidak berkongsi dan menyebarkan kandungan provokasi, mahupun menyebarkannya dari satu platform media sosial ke platform media sosial yang lain.

Katanya, sebarang hasutan, kandungan provokasi, atau yang bersifat perkauman, menghina agama, atau institusi diraja, harus dilaporkan kepada SKMM.

Ini boleh dilakukan melalui laman webnya, talian aduan 1800-188-030, nombor WhatsApp +60162206262, atau melalui e-mel di [email protected].

Maklumat salah boleh dilaporkan ke laman web Sebenarnya.

Lihat Komen
ADS