Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ketua pengarah perkhidmatan awam mahu saman k'jaan
Diterbitkan:  Dec 13, 2022 4:24 PM
Dikemaskini: 8:55 AM
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai ketua pengarah perkhidmatan awam (KPPA) yang berkuat kuasa semalam, Mohd Shafiq Abdullah akan mengambil tindakan undang-undang berhubung tindakan itu.

Mohd Shafiq berkata dia berasa terkilan dengan keputusan itu dan menyifatkannya sebagai “penganiayaan”.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan penamatan perkhidmatan saya dan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiaya saya meskipun saya telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.

“Sungguh pun demikian, saya juga mengambil kesempatan untuk menasihati semua pegawai awam menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah, memegang prinsip berintegriti, tidak rasuah dan mendahulukan kesejahteraan rakyat.

“Demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota perkhidmatan awam, keputusan kerajaan ini akan diteliti secara mendalam, sekiranya sesuai dan perlu semakan perundangan akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai KPPA berkuat kuasa 12 Dis.

Menurut Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, penamatan itu dibuat selepas melalui semua prosedur Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan diteliti peguam negara.

Sementarara itu, Shafiq menjelaskan surat penamatan perkhidmatan yang bertarikh 1 Dis itu hanya diserahkan kepadanya semalam. 

“Saya tidak diberikan notis yang munasabah, tarikh berkuat kuasa penamatan perkhidmatan saya adalah pada 12/12/2022 hari yang sama,” katanya yang menyenaraikan pelaksanaan penambahbaikan diusahakan sejak dia menerajui perkhidmatan awam. 

Antaranya penambahbaikan kemudahan cuti kuarantin, dasar bekerja dari rumah, tanggungjawab ketua jabatan melaksanakan perintah mahkamah dalam kes tuntutan nafkah dan surat edaran penambahbaikan kemudahan cuti tanpa rekod bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat. 

‘Tak disenangi segelintir pihak’

Selain itu, katanya, termasuk memberikan teguran untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, lawatan mengejut serta mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan.

Namun, katanya di sebalik usahanya itu, terdapat beberapa perkara yang tidak disenangi oleh segelintir pegawai awam yang mempunyai kepentingan dalam perkhidmatan awam dan bersama pihak luar. 

“Justeru, beberapa usaha tanpa henti telah dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasi saya melalui isu-isu tular di media sosial dan media massa yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatan saya semalam. 

“Untuk maklumat rakyat Malaysia, saya menegaskan bahawa saya tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakan saya semasa menjawat jawatan sebagai KPPA, saya telah menjalankan tugas saya secara amanah dan tegas,” katanya.

Tambahnya, dia juga berdepan dengan kekangan menjalankan tugasnya dengan efisien ketika menyandang jawatan tersebut, terutamanya berhubung kenaikan pangkat perkhidmatan awam. 

“Sejak saya menjawat jawatan ketua pengarah perkhidmatan awam ini, terdapat usaha untuk menghalang saya bertindak dengan efisien dan segera apabila beberapa mesyuarat penting kenaikan pangkat telah ditangguh oleh ketua setiausaha negara sebagai tuan pengerusi mesyuarat seperti Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat perkhidmatan awam. 

“Saya juga tidak boleh membuat keputusan sewenangnya untuk melantik dan memberikan kenaikan pangkat pegawai awam kerana ianya perlu melalui Mesyuarat Lembaga,” katanya. 

Justeru itu, dia berkata kelewatan mengadakan Mesyuarat Lembaga telah menyebabkan banyak jawatan penting yang kosong dalam sektor awam tidak diisi dengan segera, terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi kementerian atau agensi.

Sebelum ini, satu portal berita melaporkan bahawa penamatan itu berdasarkan nasihat lembaga disiplin. Keputusan itu dikatakan dibuat sebelum pilihan raya umum ke-15.

Akaun Facebook dengan nama “Harapan Malaysia” menyebarkan surat penamatan itu, yang didakwa dikeluarkan kepada Shafiq, dalam sebuah kumpulan bernama “Pakatan Harapan Malaysia” malam tadi.

“Harapan Malaysia” mendakwa Shafiq melanggar banyak peraturan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, Shafiq dalam kenyataannya berkata dia ikhlas dan jujur dalam melaksanakan tugasnya.

Lihat Komen
ADS