Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khidmat Mohd Syafiq sebagai KP Perkhidmatan Awam ditamatkan
Diterbitkan:  Dec 13, 2022 10:17 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), berkuat kuasa 12 Dis.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali berkata penamatan itu dibuat selepas melalui semua prosedur Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan diteliti peguam negara.

"Penamatan ini adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227]

"Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi PDKA dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

"Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Zuki menyeru penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Mohd Shafiq yang juga ketua setiausaha kementerian kesihatan dilantik sebagai KPPA pada 10 Feb lalu.

Mohd Shafiq, 58, menggantikan Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Jan lepas.

Untuk rekod pada Ogos lalu, Mohd Shafiq mencuri perhatian apabila didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Imigresen di LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jabatan Perkhidmatan Awam mendakwa Mohd Shafiq telah menegur pegawai Jabatan Imigresen, terutama ketua operasinya James Lee, berhubung dakwaan melanggar prosedur pemeriksaan.

Sebaliknya, Presiden Kesatuan perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khiril Niza Khairuddin mendakwa Mohd Shafiq berang kerana tidak diberikan layanan VVIP dan enggan beratur menunggu giliran dalam barisan yang disediakan untuk orang ramai.

Lihat Komen
ADS