Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: MOU tunjukkan seolah-olah Anwar tak yakin
Diterbitkan:  Dec 17, 2022 5:53 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Perjanjian permuafakatan kerjasama (MOU) antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin parti politik hanya membuktikan pengerusi PH itu tidak yakin dapat meraih sokongan majoriti di parlimen dalam undi percaya pada Isnin ini, dakwa Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Dia membangkitkan klausa dalam MOU itu, yang memaksa ahli parlimen daripada parti kerajaan mengosongkan kerusi mereka jika mereka tidak menyokong perdana menteri dalam usul berkaitan undi percaya, rang undang-undang perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur.

Kata Muhyiddin, klausa sebegitu tidak ditetapkan dalam mana-mana perjanjian atau undang-undang sebelum ini.

“Perjanjian yang tidak berperlembagaan ini menunjukkan seolah-olahnya perdana menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Sekiranya beliau yakin, maka tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini.

“Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, maka kerajaan pimpinan PH akan memaksa ahli-ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau rang undang-undang lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Antara perkara yang menjadi kontroversi dalam perjanjian itu ialah Perkara 4 - yang menetapkan bahawa ahli parlimen dalam kerajaan perpaduan yang gagal mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul seperti undi percaya, rang undang-undang perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan persekutuan, dikira meletak jawatan.

Sebagai kesannya, kerusi ahli parlimen itu akan dikosongkan mengikut Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan, dan parti ahli parlimen terbabit perlu memberitahu Speaker Dewan Rakyat tentang kekosongan itu, untuk notis diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata ahli parlimen kerajaan tidak boleh dipaksa untuk memberikan undi tertentu, walaupun gabungan dalam kerajaan mempunyai persefahaman.

“Ini kerana, sepertimana yang didakwa oleh perdana menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan perlembagaan dibuat.

“Sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran (dictatorial) ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan perlembagaan yang bertentangan dengan naluri (conscience) ahli-ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa,” katanya.

Lihat Komen
ADS