Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Bumiputera majoriti di bandar - Bancian terkini
Diterbitkan:  Dec 23, 2022 2:36 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Menurut Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 kira-kira 14.1 juta - atau 62.6 peratus - penduduk bandar adalah bumiputera, diikuti oleh etnik Cina sebanyak 6.4 juta atau 28.6 peratus, etnik India (1.8 juta atau 8.1 peratus) dan etnik lain (0.2 juta atau 0.7 peratus).

Kadar bumiputera juga meningkat berbanding bancian terakhir pada 2010, apabila 58.9 peratus penduduk bandar adalah bumiputera, kata Jabatan Perangkaan Malaysia pada satu kenyataan hari ini.

Ini agak mencerminkan demografi negara, dan sangat berbeza dengan demografi kawasan bandar pada tahun 1970-an apabila hanya kira-kira satu pertiga daripada rakyat Malaysia merupakan penduduk bandar.

Demografi penduduk bandar, khususnya mengikut etnik, merupakan isu utama dalam perdebatan sama ada untuk mengembalikan pilihan raya majlis tempatan atau tidak.

Pilihan raya majlis tempatan yang ketiga telah digantung pada 1964 di tengah-tengah konfrontasi Indonesia-Malaysia, atas alasan bahawa ia mewujudkan pergolakan perkauman.

Penggantungan pilihan raya itu dibuat secara kekal oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Pada ketika itu, kebanyakan penduduk bandar adalah etnik Cina.

Memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan adalah sebahagian daripada manifesto pilihan raya DAP pada 2008.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP menghadapi isu untuk memenuhi janji ini.

Pada masa itu, setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata pihaknya memerlukan sokongan kerajaan persekutuan untuk meminda beberapa undang-undang, termasuk Ordinan Peraturan-Peraturan Darurat, yang menghalang pilihan raya kerajaan tempatan.

Pilihan raya kerajaan tempatan itu tidak masuk ke dalam manifesto Pakatan Rakyat pada 2014, dengan presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika itu mendakwa ia boleh membawa kepada rusuhan kaum 13 Mei sekali lagi.

Pada 2018, menteri wilayah persekutuan kerajaan PH Khalid Samad mencadangkan ibu negeri Selangor, Shah Alam, menjadi landasan untuk memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Bagaimanapun, terdapat penolakan daripada kerajaan Selangor yang mengatakan negeri itu tidak dirujuk mengenai perkara itu.

Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu menentang pengenalan semula pilihan raya kerajaan tempatan manakala menteri yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin pula berkata kajian diperlukan sebelum keputusan boleh dibuat.

PH atau gabungan yang menjadi sebahagian daripada pentadbiran Anwar Ibrahim tidak berjanji untuk memulihkan pilihan raya majlis tempatan dalam manifesto PRU15 mereka.

Bagaimanapun, PH berikrar untuk membenarkan perwakilan demokratik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, walaupun bukan melalui pilihan raya terus.

Gabungan itu berkata mekanisme itu akan dibincangkan lebih lanjut jika PH menang PRU15.

Lihat Komen
ADS