Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Langkah London': Ismail Sabri anggap difitnah orang tak kenal dosa

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mendakwa dia menjadi mangsa serangan fitnah oleh pihak yang "tidak mengenal dosa" apabila dikaitkan dengan khabar mengenai 'Langkah London'.

Dia yang juga bekas perdana menteri menjelaskan, sejak berakhirnya pilihan raya umum (PRU) lalu dia berdiam diri untuk mengelak daripada menjadi mangsa sebarang fitnah atau spekulasi.

“Saya berdiam diri sejak selepas PRU ke-15 sehingga kini. Tak ada sebarang kenyataan mengenai Umno dibuat, tiada kenyataan mengenai kerajaan juga.

“Tujuan saya (berdiam diri) adalah supaya tiada spekulasi dan fitnah yang mengaitkan saya, tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya.

“Sebab itu saya menganggap (tuduhan) ini merupakan tindakan fitnah yang berniat jahat,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri diminta mengulas berhubung dakwaan 'gerakan rahsia' membabitkan cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan membabitkan beberapa pemimpin politik, termasuk dari Umno.

Turut dikaitkan ialah pemimpin parti pembangkang.

Mereka dikatakan mengadakan pertemuan rahsia di London baru-baru ini dan dituduh sedang mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara.

Tak pakai baju sejuk

Untuk rekod gerakan menukar kerajaan melalui peralihan sokongan ahli parlimen pernah berlaku pada akhir Feb 2020 membabitkan 11 ahli parlimen PKR yang berpakat dengan hampir semua pemimpin Bersatu.

Insiden itu dinamakan orang ramai Langkah Sheraton kerana berlangsung di hotel tersebut.

Gerakan menjatuhkan kerajaan mula diperkatakan selepas PH membentuk kerajaan perpaduan hasil kerjasama dengan Umno di sebalik sesetengah ahli parlimen parti itu yang dilihat keberatan 'merestui' kerjasama tersebut.

Antara tokoh yang dikaitkan dengan bantahan tersebut ialah Ismail Sabri sendiri.

Baru-baru ini tersebar gambar menunjukkan seseorang didakwa Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan tertutup di sebuah lokasi di London.

Sehingga kini tiada mana-mana pemimpin dari parti terbabit mengesahkan atau menafikan pertemuan berkenaan.

Gambar tersebut menimbulkan spekulasi bahawa terdapat rancangan pihak tertentu untuk menjatuhkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kini merupakan timbalan perdana menteri di bawah kerajaan pimpinan Anwar.

Malaysiakini sudah cuba mendapatkan komen daripada PN mengenai gambar berkenaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata dia tidak pergi atau bercuti ke London baru-baru ini, sebaliknya hanya menghabiskan masa bersama keluarganya di Timur Tengah.

"Ketika itu saya berada di Abu Dhabi dan Dubai untuk bercuti bersama keluarga. Kami melawat Warner Bros di Abu Dhabi.

"Takkan tak pakai winter cloth (baju sejuk) kalau di London," katanya lagi merujuk kepada gambar dia bersama keluarganya yang dikongsikannya kepada Malaysiakini hari ini.

Lihat Komen
ADS