Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dana RM1b mampu kurangkan risiko keselamatan di sempadan Nusantara'
Diterbitkan:  Jan 24, 2023 3:33 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Peruntukan tambahan RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf prasarana di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak mampu mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan yang bersempadan dengan Nusantara, iaitu bakal ibu kota Indonesia yang baru.

Mengalu-alukan pengumuman Anwar, Ketua Wanita Warisan Norazlinah Arif berkata isu-isu berkaitan keselamatan sempadan merupakan antara kegusaran utama penduduk di Sabah dan Sarawak.

Adun Kunak itu berkata selain merancakkan ekonomi di pinggir sempadan Sabah dan Sarawak, pembangunan Nusantara di Kalimantan yang membabitkan kos RM135 billion itu turut membawa pelbagai risiko ekonomi serta sosial.

"Penyeludupan haram, pemerdagangan manusia serta pelbagai lagi ancaman yang turut hadir dengan pembangunan ekonomi yang pesat amat dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap masyarakat setempat.

"Justeru, infrastruktur persempadanan yang efisien dan berkesan hasil daripada peruntukan naik taraf RM1 billion ini dapat menyumbang untuk mengawal risiko berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazlinah

Jumaat lalu, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan kementerian itu telah memberikan kelulusan awal bagi peruntukan tambaha RM1 bilion untuk memulakan kerja naik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Anwar berkata kelulusan tersebut dibuat susulan perbincangannya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo berhubung perpindahan ibu kota republik itu ke Nusantara, yang berkongsi sempadan dengan Sabah dan Sarawak.

Mengenai langkah mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang masih belum diwartakan, Norazlinah berkata usaha itu juga diyakini akan menguatkan lagi persepsi dan sokongan rakyat di kedua-dua negeri itu terhadap agenda Malaysia Madani yang dibawa kerajaan.

Selain itu, Norazlinah menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada isu pencerobohan pihak asing di persisiran pantai Laut Cina Selatan di Sabah dan Sarawak.

"Lebih 89 kali kapal perang China dilaporkan memasuki kawasan perairan Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan hampir tiada kawalan serta tindakan proaktif dari Kementerian Pertahanan atau pun Kementerian Luar Negeri.

"Ini memberikan kesan negatif kepada industri minyak mentah dan gas, industri perikanan serta industri pelancongan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Lihat Komen
ADS