Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lanjutan waktu operasi klinik boleh menindas kakitangan, kata FMSA
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 5:11 AM
Dikemaskini: 5:11 AM

Persatuan Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) meminta supaya langkah melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan seperti yang dicadangkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dikaji semula.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden FMSA Dr Nor Hazlin Talib, berkata walaupun langkah tersebut bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di bilik kecemasan hospital, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil kira pelbagai faktor melibatkan pandangan banyak pihak terutamanya petugas di lapangan.

“Budaya arahan tugas secara top-bottom (dari atas ke bawah) ini haruslah dihentikan dan perlulah secara bottom-top (bawah ke atas) supaya lebih tepat dan telus, dan bukannya sekadar di atas kertas saja.

“Perlanjutan waktu operasi di klinik kesihatan haruslah dijalankan setelah isu-isu kekurangan staf, pembayaran tuntutan elaun lebih masa dan kebajikan staf diatasi.

“Namun, adakah ini jalan penyelesaian terbaik dan cost-effective pada masalah kesesakan di hospital?” katanya yang meminta supaya kerajaan mencari penyelesaian masalah dari akar.

Awal bulan ini, Zaliha menggesa pengarah kesihatan negeri untuk mempertimbangkan semula cadangan melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan untuk membantu mengurangkan kesesakan di bilik kecemasan hospital.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kemudian menyuarakan kebimbangan terhadap isu yang dihadapi dan menggesa KKM memastikan tenaga kerja mencukupi bagi menjayakan cadangan tersebut.

Menurut Nor Hazlin, selepas cadangan dikemukakan Zaliha, terdapat sesetengah klinik kesihatan diarahkan untuk memulakan perkhidmatan lanjutan masa dan hujung minggu.

Katanya arahan tersebut dibuat secara ad hoc dan kurang dari 24 jam.

“Arahan telah diberi tanpa surat arahan tugas dan perancangan yang jelas, malah mengelirukan, tanpa mengambil kira kebajikan staf dan dalam situasi isu dan masalah bilangan staf yang masih sama yang perlu digilirkan dalam dua waktu operasi klinik yang berbeza.

“FMSA mendapati tindakan pihak atasan ini adalah satu bentuk penindasan dan merupakan tekanan kepada staf klinik kesihatan.

“Tindakan ini boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan dan mencemarkan nama baik KKM,” katanya.

Menurut Nor Hazlin, bebanan tugas yang tinggi perlu ditanggung kakitangan hospital pada waktu puncak (8 pagi hingga 1 petang) boleh mewujudkan suasana yang tidak harmoni, tekanan dan kelesuan dalam kalangan kakitangan.

Katanya dalam tempoh masa kurang dari seminggu arahan itu dilaksanakan, telah ada aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dibuat terhadap klinik terbabit.

Menurutnya aduan berkenaan dibuat oleh orang awam yang tidak berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Pada 22 Jan lalu Zaliha berkata KKM akan memperkenalkan wad jangka pendek (short stay ward) bagi hospital yang mempunyai ruang sebagai inisiatif mengatasi masalah kesesakan di jabatan kecemasan.

Dia berkata inisiatif tersebut telah pun dilaksanakan di beberapa hospital dan mencadangkan supaya kriteria wad berkenaan ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu lama khususnya di zon kuning.

Lihat Komen
ADS